PEMAIN beregu campuran Malaysia, Chen Tang Jie mengakui cukup teruja dengan suasana temasya Sukan Olimpik 2024 ketika dia bersedia untuk membuat penampilan sulung bersama Toh Ee Wei di Paris.
Tang Jie-Ee Wei telah berlatih sejak dua hari lalu di Arena Adidas di Porte de la Chapelle dekat Paris, Perancis kerana pertandingan badminton akan berlangsung pada Sabtu.
Pasangan beregu itu akan membuka kempen mereka dalam Kumpulan D menentang pasangan suami isteri Singapura, Terry Hee-Jessica Tan.
BACA LAGI: [VIDEO] Air mata di bumi Paris, trio memanah wanita sekadar tempat kedua tercorot
BACA LAGI: Jangan terlepas acara lagi', peminat anggap jumlah pegawai Olimpik ke Paris munasabah
“Suasana hebat di sini. Stadium ini sangat besar dan reka bentuknya sangat bagus. Saya sangat teruja untuk berada di sini dan bertanding dalam Olimpik pertama saya.
"Secara keseluruhan, kami masih menyesuaikan diri dengan keadaan di gelanggang dan pencahayaan yang baharu ini," kata Tang Jie.
Pemain nombor sembilan dunia Tang Jie-Ee Wei itu dipasangkan pada penghujung 2022 tetapi tidak mengambil masa yang lama untuk serasi dan akhirnya mencipta nama sebagai pasangan beregu campuran nombor satu negara.
Lebih manis, kira-kira hanya dalam tempoh dua tahun dipasangkan, Tang Jie-Ee Wei mencipta sejarah dengan layak ke Sukan Olimpik di bawah bimbingan jurulatih dari Indonesia, Nova Widianto.
Pasangan berkenaan mendapat gelaran 'duo samseng' oleh peminat terkenal tanah air kerana gaya rambut yang sama dan semangat juang mereka di gelanggang ketika perlawanan.
Tang Jie-Ee Wei dipasangkan pada penghujung 2022.
Hadir sebagai pendatang baharu, Tang Jie-Ee Wei dianggap sebagai pasangan underdog di Paris tetapi masih memasang impian untuk memenangi pingat dalam temasya empat tahun sekali berkenaan.
“Ini kali pertama saya bertanding di peringkat besar ini dan setiap usaha telah membawa kepada hari ini. Saya berhasrat untuk mencipta sejarah dan membawa pulang pingat ke Malaysia," tambahnya.
Jika berjaya memenangi pingat, Tang Jie-Ee Wei akan menjadi pasangan beregu campuran Malaysia kedua yang menaiki podium dalam Sukan Olimpik selepas Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang meraih perak dalam Sukan Rio de Janeiro 2016.
Tang Jie-Ee Wei perlu menamatkan saingan di dua teratas kumpulan mereka dan mara ke suku akhir. Pasangan lain dalam kumpulan mereka ialah pemain nombor dua dunia China Feng Yanzhe-Huang Dongping dan pemain nombor 30 dunia Amerika Syarikat, Vinson Chiu-Jennie Gai.
Tang Jie-Ee Wei akan menentang Amerika Syarikat dalam perlawanan kedua mereka sebelum menentang Yanzhe-Dongping. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram