Bekas anak didik Steven Gerrard dikaitkan dengan kelab Lembah Klang


  • Podium
  • Isnin, 29 Jul 2024

Kelab terakhir Quaison ialah bersama Al-Ettifaq yang dibimbing oleh Gerrard.

PENYERANG nasional Sweden, Robin Kwamina Quaison mula dikaitkan dengan pasukan Lembah Klang selepas bergelar ejen bebas sejak awal bulan ini.

Pemain yang pernah mencipta nama di Bundesliga itu mempunyai rekod jaringan menarik untuk membantu skuad Nidzam Jamil bersaing dalam pentas Asia pada September ini.

Ya! Quaison kini menjadi topik bualan dalam penyokong Selangor FC apabila khabar angin mengaitkan pemain itu ke kem Gergasi Merah menjelang jendela perpindahan kedua Liga Super bulan depan.

BACA LAGI: Rezeki keluar Selangor, Yazan dapat 'offer' kelab bekas bintang Man United

BACA LAGI: Bekas 'orang besi' kelab Lembah Klang dalam radar Sang Kenari

Pemain berusia 30 tahun itu pernah dibimbing oleh legenda Liverpool FC, Steven Gerrard semasa mewakili kelab Arab Saudi, Al-Ettifaq sebelum memilih untuk tidak menyambung kontrak.

Dalam 342 penampilan, Quaison telah menjaringkan 73 gol dan 25 bantuan jaringan semasa mewakili lima kelab berlainan sepanjang kariernya.

Manakala di kem nasional Sweden, Quaison berjaya meledak 14 jaringan dalam 52 penampilannya dalam semua kejohanan yang disertai negara kelahirannya.

Tanda harga semasa Quaison mencecah lebih RM14 juta (€2.80 juta) sekali gus memerlukan Selangor untuk mengeluarkan dana yang besar jika khabar angin itu benar.

Untuk rekod, Selangor sudah mempunyai lapan pemain import musim ini iaitu Noor Al-Rawabdeh, Reziq Bani Hani (Jordan), Ronnie Fernandez (Chile), Alvin Fortes (Cape Verde), Yohandry Orozco (Venezuela), Safuwan Baharudin (Singapura), Alex Agyarkwa (Ghana) dan Umar Eshmurodov (Uzbekistan).

Secara tidak langsung, Selangor masih mempunyai dua kuota pemain asing untuk didaftarkan selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) memberikan slot khas buat pasukan yang menyertai kejohanan antarabangsa bagi mempunyai 10 import.

Jadi adakah penyokong Liga Malaysia akan melihat seorang lagi pemain prolifik tinggi beraksi dalam negara ini? Sama-sama kita nantikan. —Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram