MUSIM ini menyaksikan beberapa pemain, sama ada dalam kategori import mahupun tempatan yang sudah berada di tahap baharu selepas berkelana pada jendela perpindahan sebelum ini.
Duo pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT), Akhyar Rashid dan Safawi Rasid yang beraksi di Terengganu FC boleh dikatakan semakin berkembang tidak seperti ketika diperam di bangku simpanan.
Romel Morales yang kini milik skuad Harimau Selatan juga sudah berada di tahap lebih baik sekiranya hendak dibandingkan ketika dia beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC musim lalu.
BACA LAGI: Yusri Che Lah bukan ahli silap mata tapi tidak gentar rombak pasukan
BACA LAGI: Keunggulan Arif Aiman 'tersebar' ke Timur Tengah, mula dikait dengan kelab Iran
Akhyar (kiri) dan Safawi sudah beraksi lebih baik musim ini. — Facebook/Terengganu FC
Peningkatan dari segi prestasi itu sudah cukup untuk meletakkan mereka di dada akhbar setiap minggu dengan penyokong pasukan masing-masing sudah tentu berpuas hati dengan persembahan pemain tersebut.
Namun, ada juga dalam kalangan bintang baharu musim ini yang kurang meraih perhatian meskipun berjaya memberikan sumbangan cukup penting setiap kali diturunkan.
Perkara itu boleh berlaku kerana masing-masing tidak mempunyai sumbangan signifikan untuk diberi perhatian berbanding pemain lain.
Bagaimanapun, berdasarkan pemerhatian Majoriti, berikut adalah tiga pemain yang sudah berada di tahap lebih baik selepas menyarung jersi baharu musim ini.
1. Hasbullah Abu Bakar (KDA FC)
Sepanjang jendela perpindahan lalu, skuad Sang Kenari membuat beberapa rekrut berprofil tinggi walaupun terpalit dengan isu gaji sepanjang tahun lalu.
Keputusan membawa masuk Syafiq Ahmad secara pinjaman dari JDT dan kepulangan Rizal Ghazali dari Sabah FC merupakan antara nama-nama besar yang disambar kelab Utara tanah air itu.
Namun, dalam kalangan pemain baharu tersebut, ramai seakan-akan tidak menyedari bahawa Kedah Darul Aman (KDA) FC memilih untuk menyambar Hasbullah Abu Bakar dari Negeri Sembilan FC.
Hasbullah terus menjaringkan gol penting buat skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Meskipun bukanlah satu nama yang besar, penyokong skuad Jang pasti mengenalinya sebagai seseorang yang cukup bertenaga setiap kali beraksi.
Bagaimanapun, selepas kira-kira tiga bulan beraksi, pemain berkenaan berjaya membuktikan nilai sebenarnya buat skuad Sang Kenari.
Gol dalam separuh akhir Piala FA menentang Penang FC dan jaringan ketika bertemu Kuching City FC baru-baru ini adalah antara sumbangan terbesar Hasbullah.
Ini menunjukkan bahawa pemain berusia 29 tahun itu akan terus menjadi watak utama Kedah sekiranya terus diberikan peluang oleh ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
2. Richmond Ankrah (Penang FC)
Lambakan pemain pertahanan, seperti Safuwan Baharudin dan Umarbek Eshmurodov menyaksikan Selangor FC memberi ruang buat bek Ghana, Richmond Ankrah menyertai Penang FC secara pinjaman.
Keputusan itu boleh dikatakan relevan buat kesemua pihak memandangkan pemain terbabit sendiri tidak dapat meraih minit permainan secara kerap bersama skuad Gergasi Merah.
Selain kerap memanaskan bangku simpanan, pertahanan tengah itu juga beberapa kali diletakkan dalam skuad simpanan bagi mendapatkan peluang beraksi.
Richmond merupakan komponen penting buat skuad Harimau Kumbang. — Facebook/Penang FC
Perpindahan itu akhirnya kelihatan bermakna buat Richmond yang kini merupakan watak penting buat pasukan kendalian Akmal Rizal Ahmad Rakhli.
Gandingannya bersama Rafael Vitor dalam barisan serangan menyaksikan benteng mereka acap kali kukuh meskipun tidak berada di tahap terbaik sehingga kini.
Sekiranya prestasi memberangsangkan tersebut diteruskan, terdapat kemungkinan Selangor FC akan menggunakan khidmatnya lebih kerap selepas tempoh pinjamannya tamat.
3. Jordan Mintah (Kuching City FC)
Tidak boleh dinafikan bahawa karier penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah bersama Terengganu FC sedikit sukar selepas
Persaingan hebat daripada pemain lain sering menyaksikannya terus berada dalam bayang-bayang sendiri sehingga mustahil baginya mempamerkan aksi terbaik.
Jadi, untuk mempamerkan potensi terbaiknya, pemain berusia 28 tahun tersebut kemudiannya bertindak menyertai Kuching City FC yang bercita-cita besar musim ini.
Mintah (kiri) mempamerkan aksi terbaiknya buat skuad The Cats sejak dipinjamkan. — Facebook/Kuching City FC
Perpindahan secara pinjaman itu menyaksikannya berpeluang berada di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak yang cukup berpengalaman dalam Liga Super.
Keputusannya itu jelas sudah membawa pulangan meyakinkan selepas penyerang berkenaan sudah merekodkan empat jaringan daripada sembilan penampilan dalam semua kejohanan.
Sumbangannya berkenaan menyaksikan skuad The Cats kini berada di kedudukan keenam Liga Super selepas meraih tujuh mata daripada enam perlawanan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram