KEM Kuala Lumpur City FC kembali berwajah gembira selepas isu tunggakan gaji mula menampakkan jalan keluar.
Perkara itu disahkan sendiri oleh ketua pasukan, Paulo Josue yang nyata lega dengan perkara tersebut dan tidak perlu gusar lagi berkenaan hal itu.
Pada Jumaat, pengurusan KL City mengatakan yang mereka sedang giat menyelesaikan permasalahan gaji selepas ia tertunggak untuk beberapa bulan.
BACA LAGI: Pembayaran gaji giat dilaksanakan, skuad Warga Kota harap City Boys & Girls datang penuhkan stadium
BACA LAGI: Kedudukan Sri Pahang bukan ukuran, KL City lega 2 watak utama sedia ranap Tok Gajah
Bagi Josue, ia ibarat satu suntikan semangat buat para pemain KL City untuk mencari tiga mata berdepan Sri Pahang FC pada Sabtu.
"Baguslah apabila mereka (pengurusan kelab) bersatu untuk memberikan komitmen kepada pembayaran gaji buat para pemain.
"Saya harap semuanya akan diselesaikan. Kami diberitahu oleh pengurusan pada Khamis yang mereka sedang memproseskan pembayaran gaji. Kami harap ia dapat diselesaikan dalam minggu ini.
"Kami mesti bekerjasama untuk keluar daripada situasi ini. Kami, sebagai pemain mahu fokus pada bola sepak sahaja. Kami mahu urusan kewangan ini diuruskan oleh pihak pengurusan dan bukannya mereka yang berada dalam bilik persalinan," jelas Josue.
Josue mengalami masalah gaji sehingga tujuh bulan. — Kuala Lumpur City
Sebelum ini, Joseu menjelaskan yang dia sudah tidak mendapat gaji selama tujuh bulan. Sementara pemain-pemain lain turut mengalami perkara sama dengan tunggakan yang lebih kecil.
Malah, skuad Warga Kota turut berdepan tunggakan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melebihi RM700,000.
Dengan isu kewangan semakin selesai, Josue semakin bersemangat dalam misi memecah rekod penjaring terbanyak KL City dalam sejarah yang sedang dipegang oleh pengendali Sri Pahang iaitu Fandi Ahmad.
Rekod Fandi adalah sebanyak 67 gol dan sebagai perbandingan, pemain Brazil itu sudah mengumpul 66 jaringan untuk dirinya.
"Saya begitu hampir dengan rekod. Cadangannya nak pecahkan rekod itu pada musim ini tetapi saya mahu membantu pasukan memenangi perlawanan terlebih dahulu.
"Jika ia terjadi, ia sangat istimewa, tapi saya tiada tekanan untuk pecahkan rekod tersebut," kata Josue. — The Star/T. AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram