Bekas 'orang besi' kelab Lembah Klang dalam radar Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 16 Jul 2024

Zirdum (berjersi nombor lima) dikhabarkan akan menyertai Sang Kenari pada Ogos ini. — Instagram/Zirdum

BERBAKI kira-kira dua minggu sebelum Ogos membuka tirai, pelbagai khabar angin melibatkan jendela perpindahan sudah menghampiri setiap kelab penyokong dengan rata-rata berharap agar pasukan kesayangan merekrut pemain yang tepat.

Kedah Darul Aman (KDA) FC antara yang tidak terkecuali giat mencari pemain baharu apabila difahamkan turut sama dalam misi mencari pemain berkualiti bagi memberi saingan lebih sengit untuk saki-baki musim Liga Malaysia (Liga M) selepas ini.

Tidak dinafikan pasukan Sang Kenari musim ini mengalami tunggakan gaji yang agak meresahkan namun di bawah kepimpinan Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar sebagai pemilik saham terbesar Darulaman Football Club Sdn. Bhd, pasti beliau sedang mencari jalan penyelesaian untuk keluar daripada kemelut tersebut.

BACA LAGI: Rezeki keluar Selangor, Yazan dapat 'offer' kelab bekas bintang Man United

BACA LAGI: Freekick samba Neto bantu Penang raih kemenangan sulung, sebulan cuti punca Perak tumpul

Masa depan kewangan Kedah semakin cerah apabila pasukan Utara tanah air berkenaan difahamkan sedang memburu pertahanan baharu dan antara nama yang dikaitkan ialah bek tengah kelahiran Croatia, Matko Zirdum.

Pertahanan kental berusia 25 tahun itu bukan pemain asing dalam saingan domestik susulan Zirdum pernah menyarung jersi Kuala Lumpur (KL) City FC sepanjang musim 2023 sebelum khidmatnya dilepaskan penghujung tahun lalu.

Sepanjang menyarung jersi skuad The City Boys, pemain yang mempunyai ketinggian enam kaki lima inci itu sudah merekodkan 22 penampilan dalam kesemua saingan domestik disertai KL City.

Pemain yang dikenali sebagai 'orang besi' KL City itu berhasil membantu The City Boys layak ke final Piala FA 2023 sebelum ditewaskan Johor Darul Ta'zim (JDT), selain kudratnya turut menolong pasukan itu ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia 2023.

WhatsApp Image 2024-07-16 at 12.29.10

Zirdum bersama KL City sepanjang musim 2023. — Instagram/Zirdum

Sebelum bersama pasukan Lembah Klang itu, bekas pemain Croatia bawah 21 tahun itu juga pernah beraksi untuk Slaven Belupo, ND Gorica, NK Novigrad, Koprivnica dan Dinamo Zagreb.

Sekiranya Kedah berhasil merekrut bek tengah muda itu, Zirdum akan menjadi aset penting dan pelaburan jangka masa panjang terutama di bahagian pertahanan buat pasukan kendalian Nafuzi Zain itu.

Namun, pemain yang kini berstatus ejen bebas itu mempunyai sejarah sedikit kurang enak bersama KL apabila Zirdum pernah beraksi selama kira-kira lima bulan gara-gara kecederaan otot yang dialaminya.

Meskipun ia masih berstatus khabar angin, namun ramai juga penyokong merestui sekiranya 'orang besi' Kuala Lumpur ini berhijrah ke Darul Aman bersama Sang Kenari pada Ogos nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram