Pengendali Sepanyol yakin topeng Mbappe 'bantu' La Roja aksi separuh akhir


  • Podium
  • Selasa, 09 Jul 2024

Mbappe pernah mengakui bahawa tidak selesa menggunakan bertopeng selepas patah hidung. — Agensi

KETUA jurulatih Sepanyol, Luis De La Fuente yakin bahawa penyerang utama Perancis, Kylian Mbappe tidak akan menjadi 'duri dalam daging' skuad Lo Roja dalam aksi separuh akhir Euro 2024 pada Rabu ini.

Susulan kecederaan hidung yang dialaminya, penyerang Real Madrid itu telah bermain dengan memakai topeng pada peringkat kalah mati dengan setakat ini masih belum menjaringkan gol dari permainan terbuka.

De La Fuente percaya topeng berkenaan akan menjejaskan permainannya dan pengendali berusia 63 tahun berkenaan juga tidak membuat rancangan khusus untuk menghentikan Mbappe pada aksi getir nanti.

BACA LAGI: Mbappe akui kehilangan bekas bintang Man United punca jentera serangan Perancis tumpul di Euro 2024

BACA LAGI: Morata merajuk, anggap Euro 2024 penampilan terakhir lepas bantu Sepanyol ke semi

Pengendali La Roja itu juga menjelaskan bahawa pengalaman melihat pemain pertahanannya, Robin Le Normand bermain dengan topeng yang sama pada satu peringkat membuatkan dia berpendapat bahawa persembahan Mbappe akan terjejas.

“Orang ramai perlu tahu bahawa topeng seperti ini agak terhad. Kami mengalami situasi yang sama dengan Le Normand, dia tidak bernafas secara normal, dia menjadi sangat letih dan juga mengalami beberapa masalah otot.

"Ia mengehadkan pemain, tetapi dalam apa jua keadaan Mbappe masih Mbappe. Walaupun benar bahawa potensi terbaiknya belum lagi dilihat dalam kejohanan ini tetapi dia masih membawa ancaman tersendiri," katanya.

Sudah tentu pelan utama Sepanyol untuk menentang Mbappe adalah Dani Carvajal namun bek kanan Real Madrid berkenaan digantung perlawanan selepas dibuang padang pada aksi bertemu Jerman baru-baru ini.

FUENTA

De La Fuente percaya topeng berkenaan akan menjejaskan permainan Mbappe.

Ia meninggalkan De La Fuente dengan pilihan lain di bek kanan. Jesus Navas adalah pengganti yang jelas, manakala Nacho Fernandez juga boleh bermain sebagai bek kanan namun ada cadangan bahawa Marc Cucurella boleh bertukar posisi.

Melangkah ke separuh akhir Euro 2024, Sepanyol berpeluang mara ke final utama pertama sejak Euro 2012 dengan ia merupakan kali terakhir La Roja memenangi trofi bagi kejohanan besar.

La Roja mempunyai pengalaman daripada kemenangan Liga Negara-Negara mereka pada tahun lepas di bawah De La Fuente namun Perancis sangat berpengalaman susulan mara ke separuh akhir dalam Euro dan Piala Dunia 2018. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram