Pesaing Liga China cuba 'hijack' penghijrahan Kim Pan-gon ke Ulsan


  • Podium
  • Khamis, 18 Jul 2024

Pan-gon (kiri) dikatakan menarik minat Ulsan Hyundai sebagai jurulatih baharu mereka. — Facebook/FAM

PENYOKONG bola sepak tanah air pasti masih belum boleh mencerna hakikat Kim Pan-gon tidak lagi mengendalikan skuad kebangsaan selepas ketua jurulatih itu memutuskan untuk melepaskan jawatannya pada Selasa.

Pan-gon melepaskan jawatannya sebagai pengendali Harimau Malaya dengan pengumuman dibuat dalam satu sidang media diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor dengan faktor peribadi dan ingin kembali ke negara kelahirannya menjadi alasan.

Kepulangan pengendali berusia 55 tahun itu ke negaranya mencetuskan spekulasi terbaharu apabila difahamkan Pan-gon sudah menerima lamaran dari pasukan gergasi Korea Selatan, Ulsan Hyundai.

BACA LAGI: Selain Kim Pan-gon, Pau Marti Vicente pernah berguru dengan 3 jurulatih berdarah FC Barcelona

BACA LAGI: 'Bahaya dimaksudkan KPG mungkin tentang bakat baharu Harimau Malaya'

"Jurulatih Kim Pan-gon yang cemerlang bersama skuad kebangsaan Malaysia dijangka akan kembali ke Liga Korea.

"Berkemungkinan destinasi seterusnya adalah Ulsan Hyundai susulan kekosongan ditinggalkan Hong Myung Bo," memetik laporan media Korea Selatan, Xports News baru-baru ini.

Pan-gon dikatakan akan menggantikan pengendali semasa Ulsan, Hong Myung-bo yang bakal diangkat sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan negara tersebut menggantikan Jurgen Klinsmann.

Penghijrahan Pan-gon ke kem Ulsan bukan perkara asing buatnya susulan skuad Tigers merupakan kelab yang pernah disertainya sewaktu bergelar pemain profesional pada 1992 hingga 1996.

Selepas beberapa hari khabar angin berkenaan, masa depan Pan-gon bersama Ulsan bagaimanapun kembali menjadi persoalan apabila difahamkan Ulsan sedang mempertimbangkan merekrut khidmat jurulatih dari liga China.

myung bo

Myung-bo bakal dilantik sebagai jurulatih baharu skuad kebangsaan Korea Selatan tidak lama lagi. — Agensi

"Pelantikan jurulatih baharu akan dimuktamadkan tidak lama lagi. Selain jurulatih Kim (Pan-gon), Ulsan diketahui berhubung dengan pelbagai calon, termasuk jurulatih Korea yang aktif dalam Liga Super China," petik laporan dari media Korea Selatan, News.Nate.

Walaupun tidak menyebut nama pesaing itu, namun sudah pasti individu berkenaan mempunyai profil yang mengagumkan sepanjang bergelar jurulatih dan akan menjadi ancaman buat Pan-gon menghuni posisi pengendali Ulsan.

Seandainya Pan-gon sah diumumkan sebagai pengendali baharu Ulsan, dia dijangka mengendalikan kelab lamanya itu buat pertama kali ketika Ulsan berdepan Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi liga pada 20 Julai. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram