Baru beli dah cedera, Man United terpaksa tunggu 24 jam ketahui nasib Yoro


  • Podium
  • Ahad, 28 Jul 2024

Yoro diharapkan dapat membantu barisan pertahanan Manchester United musim depan selepas dibawa masuk dari Lille. — Agensi

KEMERIAHAN dapat dirasai di kem Manchester United selepas pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL) itu membawa masuk pemain pertahanan baharu, Leny Yoro dari Lille.

Perpindahan yang menelan belanja sehingga £52 juta (RM311.5 juta) itu menyaksikan pemain berusia 18 tahun berkenaan sah milik skuad The Red Devils.

Bagaimanapun, setakat dua aksi pramusim, pemain berdarah Perancis tersebut masih belum menampilkan aksi terbaik seperti mana pernah disaksikan ketika di pasukan lamanya.

BACA LAGI: Leny Yoro tinggal selangkah sarung jersi Manchester United

BACA LAGI: [VIDEO] Tak tahan kena maki, bintang pinjaman Manchester tunjuk isyarat lucah ke fans sendiri

WhatsApp Image 2024-07-28 at 6.20.21 PM

Yoro dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat kecederaan dialaminya. Agensi

Malah, dalam perlawanan menentang Arsenal di Stadium SoFi, Amerika Syarikat pada Sabtu, Yoro mengalami nasib buruk selepas mengalami kecederaan.

Berita itu disampaikan pengurus Manchester United, Erik ten Hag yang mengumumkan pihaknya perlu menunggu 24 jam untuk mengetahui status semasa rekrut baharu itu.

"Kita harus menunggu dan harapnya kita akan dapat lebih banyak perkembangan mengenai keadaan Leny. Dia hanya terlibat dalam kira-kira 50 peratus sesi latihan sebelum ini," katanya.

Yoro dikeluarkan pada separuh masa pertama bersama seorang lagi bintang The Red Devils, Rasmus Hojlund yang turut cedera dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun, kehilangan kedua-dua pemain itu tidak menghalang ten Hag daripada berpuas hati akan persembahan anak-anak buahnya meskipun tewas di tangan skuad The Gunners.

Masalah kecederaan bukanlah sesuatu yang baharu buat Manchester United apabila hampir separuh daripada pemain mereka mengalami masalah berkenaan musim lalu.

Lebih teruk lagi, isu kecederaan tersebut memberi kesan paling buruk terhadap barisan pertahanan dengan Raphael Varane, Lisandro Martinez dan Luke Shaw antara yang terkesan.

Selepas ini, Manchester United akan berdepan sebuah lagi kelab EPL, Liverpool di Stadium SoFi, Amerika Syarikat kira-kira tiga minggu sebelum aksi liga bermula. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram