PEMAIN tersisih Manchester City, Kalvin Phillips memilih untuk menyertai West Ham United secara pinjaman pada pertengahan musim 2024/25 bagi meraih minit permainan lebih kerap.
Tetapi, tempoh singkatnya dalam pasukan itu masih belum membuahkan hasil buat kelab London berkenaan yang terus berdepan isu prestasi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).
Malah, dalam satu perlawanan baru-baru ini, pemain antarabangsa England tersebut berdepan kontroversi selepas tewas kepada Newcastle United.
Phillips yang dimasukkan pada minit ke-69 menghadiahkan sepakan penalti buat pasukan lawan setelah mengasari Anthony Gordon.
Situasi tersebut menyaksikannya dipersalahkan atas kekalahan skuad The Hammers yang kini menduduki tangga ketujuh sukar untuk merebut slot ke pentas Eropah musim depan.
BACA LAGI: [VIDEO] Cubaan Gakpo lakukan 'diving' gagal perdaya pemain Manchester United
BACA LAGI: Haaland tidak gembira di Manchester, kelab EPL tarik nafas lega
Keadaan menjadi lebih sukar buat pemain tengah berkenaan apabila dia dicemuh penyokong sendiri ketika dalam perjalanan ke bas pasukan selepas tamat perlawanan.
Selain melabel kehadirannya tidak membuahkan sebarang hasil, orang ramai mendesak supaya Phillips meninggalkan kelab itu secepat mungkin.
Berang akan kata-kata itu, Phillips tidak berfikir panjang apabila menunjukkan isyarat lucah terhadap beberapa penyokong di luar stadium.
Tindakan berkenaan sudah pasti akan mencalarkan lagi imejnya apabila orang ramai pasti tidak lagi mahu melihat kelibatnya di atas padang.
Setakat ini, pemain berusia 28 tahun itu sudah merekodkan 11 penampilan EPL buat West Ham United tanpa sebarang gol atau bantuan jaringan direkodkan.
Dia yang diharapkan mampu membantu skuad kendalian David Moyes ke pentas Eropah musim depan dijangka tidak akan dikekalkan dan terpaksa pulang ke Manchester City pada jendela perpindahan akan datang. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram