SELEPAS dua musim beraksi untuk skuad The Red Devils, Antony masih gagal berada di tahap terbaik seperti mana yang pernah dipamerkan semasa bersama Ajax.
Lima gol daripada 54 penampilan secara keseluruhan boleh dikatakan pulangan tidak berbaloi dengan nilai €95 juta (RM484.4 juta) dilaburkan terhadapnya.
Jadi, berang dengan prestasinya yang tidak menentu, kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu difahamkan sudah meminta pemain antarabangsa Brazil tersebut untuk mencari kelab baharu.
BACA LAGI: [VIDEO] Aksi diva Antony mengadu Rashford, tunjuk gaya 'mind blowing' buat fans Man United menyampah
BACA LAGI: Antony masih tak 'perform', Man United dikhabar sambar Arif Aiman Jepun
Antony memulakan karier bersama Manchester United dengan langkah kanan.
Menurut sumber dalaman Football Insider, Manchester United sanggup melepaskan Antony meskipun dengan status pinjaman jika kelab baharu itu sanggup menanggung gajinya yang mencecah €100,000 (RM604,818) setiap minggu.
Sepanjang beraksi untuk skuad The Red Devils, penyerang sayap berusia 24 tahun itu bergelut untuk berada dalam prestasi konsisten meskipun beberapa kali menjaringkan gol penting buat pasukan.
Jaringan ketika debut EPL menentang Arsenal dan pertembungan dengan Liverpool dalam Piala FA merupakan antara sumbangan sukar dilupakan daripadanya setakat ini.
Namun, dengan Erik ten Hag mahu melakukan rombakan, Antony perlu dilepaskan dengan harapan jumlah wang perlu dikeluarkan bagi membayar gaji dapat dikurangkan.
Setakat ini, Manchester United sudah membawa masuk dua pemain baharu, Joshua Zirkzee dan Leny Yoro dengan masing-masing diharapkan mampu membawa kejayaan buat pasukan.
Mereka juga difahamkan berminat untuk mendapatkan beberapa rekrut lain, seperti Matthijs de Ligt dari Bayern Munich dan Manuel Ugarte dari Paris Saint Germain (PSG).
Bagaimanapun, kesemua perancangan tersebut hanya boleh dilaksanakan sekiranya mereka memiliki bajet mencukupi, lebih-lebih lagi dengan kesukaran meraih pendapatan menerusi penjualan pemain. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram