Yusri Che Lah bukan ahli silap mata tapi tidak gentar rombak pasukan


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Yusri meraih perhatian positif daripada penyokong skuad TBG dengan gaya permainan positif di tempat lawan. — Facebook/Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

DARI awal pelantikannya selaku ketua jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah menyatakan dia bukanlah ahli silap mata yang boleh mengubah nasib pasukan dengan serta-merta.

Mengambil alih daripada Datuk Lim Teong Kim yang dipecat pada Mei tahun lalu, jurulatih kelahiran Kangar itu beransur-ansur menerapkan keyakinan dalam kalangan pemain-pemainnya.

Namun, bukan sedikit kejutan yang dicetuskannya ketika kesebelasan Perak FC berarak masuk ke padang Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan malam tadi dalam perlawanan yang sepak mulanya tertangguh 50 minit disebabkan hujan lebat.

BACA LAGI: Penyokong setia Perak FC meninggal dunia

BACA LAGI: Ejen bintang Perak FC beri amaran kelab Liga Super hati-hati dengan scammer Korea Selatan

452051939_500119629235084_906429659994975131_n

Aksi lebih positif dipamerkan skuad TBG dalam perlawanan tersebut. Facebook/Perak FC

Mengotakan janjinya selepas kekecewaan ditundukkan 0-2 oleh Penang FC di halaman sendiri pada 13 Julai, jurulatih berusia 48 tahun itu merombak barisannya.

Tiada gandingan Luiz Motta yang cedera dan Jesper Nyholm untuk mengemudi pertahanan dan di tempat mereka tersenarai Sunday Afolabi bersama Shivan Pillay. Tiada juga Lee Tae-min di sayap kiri seperti selalunya.

Di samping hanya mengekalkan Luciano Guaycochea dan Adilet Kanybekov selaku tenaga import, Yusri turut mengambil risiko mengetengahkan pemain muda dari skuad bawah 23 tahun, Syahmi Shamsudin, di bahagian sayap.

Perjudiannya – Yusri tidak gemarkan istilah berkenaan – membuahkan hasil apabila The Bos Gaurus (TBG) bangkit untuk menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC 3-1 untuk mereka memperbaiki kedudukan di tangga kesembilan dengan hanya kemenangan kedua musim ini.

Bukan seorang ahli silap mata sekalipun, jurulatih itu menyerlahkan bahawa dia tidak takut menyisihkan pemain bertaraf bintang dalam pasukan sekalipun jika prestasi mereka tidak pun setanding.

453157558_500119699235077_6265276967199403529_n

Luciano Guaycochea dilayangkan kad merah dalam perlawanan tersebut. Facebook/Perak FC

“Kami dalam keadaan amat tertekan bila kami sering kali tewas, terutama dalam perlawanan menentang Penang dua minggu lalu. Sudah pasti dalam bola sepak orang tak menginginkan langsung perkara ini, termasuk juga saya.

“Saya masih lagi optimis. I’m a fighter dan saya akan berjuang bersama dengan pasukan. Malam ini, Alhamdulillah, walaupun kami tidak bermain dengan terlalu baik tetapi kami berada dalam perlawanan dalam 90 minit,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Yusri menjelaskan rombakan kesebelasan yang dilakukannya adalah untuk disesuaikan dengan jangkaan terhadap lawan yang turut dalam keadaan terdesak selepas kalah 0-3 kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di Alor Setar pada 12 Julai.

“Apabila kita melihat mereka beraksi dengan tiga pertahanan, agak sukar nak tembus dengan corak permainan yang biasa. Tetapi Alhamdulillah apa yang kita rancang sebenarnya berlaku dalam separuh masa kedua.

“Dengan gol kedua (sepakan penalti Guaycochea pada minit ke-57 selepas Firdaus Saiyadi menyumbang gol pendahuluan pada minit ke-44), kita berharap pemain kita berada di kedudukan yang sebenar. Dan kemasukan pemain muda, Syahmi (Shamsudin), dengan kepantasannya, dia berjaya memberi assist untuk jaringan ketiga.

452051869_500119439235103_724650715372952531_n

Yusri pasti lebih berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya. Facebook/Perak FC

“Dua gol itu telah membunuh sedikit saki-baki perjuangan pasukan KDN, seterusnya jaringan ketiga telah menutup terus perjuangan mereka,” tambahnya.

Kemenangan itu, bagaimanapun, menimbulkan sedikit rasa ralat kerana Guaycochea – terdahulu dilayangkan kad kuning pada minit ke-27, menerima kad kuning kedua yang digantikan kad merah pada minit ke-92 yang difahami kerana melengahkan permainan ketika satu lontaran ke dalam.

“Saya amat sedih dengan keadaan begitu, sebenarnya Perak bukanlah pasukan yang agak ganas (ia hanyalah kad merah ketiga dikutip pasukan). Mungkin ada baiknya keadaan itu berlaku, saya tidak mengatakan saya suka tetapi menjadi pengajaran berguna kepada semua pemain.

“Kita faham memang kehilangan Luciano amat dirasakan, terutama untuk menghadapi Kuching City minggu depan selepas mereka berjaya mengikat Kedah (1-1) di Darulaman.

451390878_500039822576398_3083455120691688026_n

Wan Zack Haikal sudah tentu diharapkan dapat terus memberi sumbangan buat pasukan. Facebook/Perak FC

“Saya mengharapkan pemain-pemain seperti Wan Zack Haikal (Wan Noor) dan Firdaus Saiyadi untuk beraksi (mengambil tanggungjawab Guaycochea) pada minggu depan.

“Saya mengharapkan pemain-pemain berjuang walaupun ketiadaan Luciano ini amat-amat sukar untuk kita lalui tetapi ini mungkin titik peralihan kepada pasukan untuk guna pakai keadaan ini dan bagusnya kita akan melakukannya di halaman sendiri bertemu Kuching City (pada Selasa),” katanya.

Ditanya analisisnya terhadap pemain import selepas enam perlawanan liga dan satu aksi Piala FA, Yusri enggan menyatakan apa-apa kecuali bergantung kepada bajet pihak pengurusan terhadap kemungkinan ada penggantian dalam jendela perpindahan kedua bulan depan.

“Kita masih lagi di peringkat perbincangan untuk menguatkan bahagian-bahagian tertentu. Dalam masa sama, saya juga memperingatkan kepada semua pemain import dan tempatan dua minggu lalu selepas perlawanan dengan Penang supaya lebih bermotivasi untuk kekal dengan pasukan Perak.

452881054_500119492568431_8571320712126826158_n

Yusri (kanan) ketika memberi arahan kepada Syahmi yang beraksi dengan baik. Facebook/Perak FC

“Dalam senario bola sepak hari ini, amat sukar mendapatkan pasukan untuk beraksi. Semua pemain harus ingat rezeki yang ada di tangan mereka harus diguna pakai dengan sebaik mungkin. Kita tidak tahu pemain-pemain lain menginginkan kedudukan yang sama.

“Jadi, saya cuba adil kepada semua pemain, terutama pemain yang saya masukkan tadi, Syahmi, bukanlah pemain utama dalam skuad bawah 23 tahun. Dia hanya sering kali masuk sebagai pemain gantian dalam skuad bawah 23. Kita melihat lima aksinya dalam Piala MFL amat baik ketika menjadi pemain gantian.

“Saya ingin mengingatkan kepada semua pemain saya, baik pasukan pertama dan kedua, mereka harus berjuang untuk berada dalam pasukan utama.

“Bukanlah kerana kita menang kita bercakap sedemikian tapi kita melihat sesiapa juga yang ada peluang dan ruang sebegini, gunakanlah dengan sebaik mungkin kerana kita tidak tahu bilakah peluang kedua akan menjelma,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram