Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
YUSRI Che Lah ketawa kecil apabila diingatkan bahawa bekas ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim, dipecat tidak lama selepas diberi jaminan dan sokongan oleh pengurusan Perak FC musim lalu. Ketawa kecilnya itu tersirat kesedaran terhadap apa jua kemungkinan selepas ini.
Bergelar penolong ketua jurulatih ketika itu, Yusri melihat sendiri rentetan kejadian yang berlaku hingga Teong Kim dipecat pada 25 Mei 2023 selepas mengendalikan The Bos Gaurus (TBG) dalam hanya 12 perlawanan liga.
Itu berlaku tujuh minggu selepas bekas jurulatih pasukan belia Bayern Munich itu – yang sentiasa menekankan pendekatan trust the process -- mendapat jaminan pengurusan Perak yang akan bertindak profesional mengenai sebarang keputusan drastik ke atasnya.
BACA LAGI: Yusri Che Lah cetus inspirasi untuk Perak FC bangkit, terus mara
BACA LAGI: Desakan ‘YCL Out’ lepas tewas 4 kali, Perak FC masih berdiri di belakang Yusri Che Lah
Terdapat seruan meminta Yusri disingkirkan. — Perak Football Club
"Kena beri masa kerana (proses) ini akan memakan masa yang lama. Ibaratnya kota Rom tidak dibina sehari. Jadi tunggulah. Kontraknya adalah selama dua tahun, itulah jangka masa yang kami berikan kepadanya,” kata Pengerusi Perak, Datuk Seri Abdul Azim Zabidi, seperti dipetik Astro Arena selepas skuad TBG mengalami kekalahan ketiga dalam liga – 1-3 kepada Penang FC di tempat lawan pada 31 Mac.
Berselang lima lagi kekalahan dalam tempoh tujuh minggu berikutnya, Teong Kim sudah pun berkemas untuk mengambil penerbangan pulang ke Jerman ketika pengurusan pasukan tidak lagi mampu mempertahankan kedudukannya.
Yusri harus mempunyai ingatan jelas terhadap apa yang berlaku sebelum dilantik selaku pemangku ketua jurulatih menggantikan kekosongan ditinggalkan Teong Kim untuk mengemudi pasukan bermula dengan perlawanan dengan Terengganu FC di tempat lawan pada 3 Jun yang mereka kalah 0-3.
Dua lagi kekalahan menyusul selepas itu – 0-3 kepada Kedah Darul Aman FC dan 1-2 kepada PDRM FC – sebelum mata pertama dikutip di bawah pengendaliannya dan perlawanan berikut menyaksikan Yusri mengecap tiga mata sulungnya daripada kemenangan 2-1 ke atas Kuching City FC di tempat lawan.
Pada 17 Julai lalu, pengurusan Perak menyatakan sokongan penuh kepada Yusri apabila Abdul Azim secara terbuka menyatakan ketua jurulatih itu masih pilihan yang tepat untuk membawa TBG ke hadapan.
“Kami memberi sokongan penuh kepada Yusri Che Lah. Pihak pengurusan yakin dengan kemampuannya dan kita harus ingat Coach Yusri adalah individu yang berjaya membimbing pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia 2023 dengan menewaskan pasukan hebat seperti Kedah dan Sabah pada saingan musim lalu.
“Menewaskan Kedah sekali lagi musim ini (2-0 di Alor Setar pada 24 Mei) membuktikan kita adalah pasukan yang boleh bersaing. Kami tetap yakin pasukan ini akhirnya akan lebih utuh dan beraksi seperti yang kita jangkakan,” kata Abdul Azim dalam satu kenyataan.
Perak tumpas kepada Penang di laman sendiri. — Perak Football Club
Tidak mungkinlah Yusri tidak melihat persamaan dengan sokongan yang pernah diberi kepada Teong Kim. Atau mungkinkah jurulatih itu berasakan seolah-olah berada dalam situasi serupa – bahawa sokongan diterimanya juga berupa satu amaran?
Lebih-lebih lagi sokongan terbaru Perak itu adalah susulan kekalahan 0-2 kepada Penang FC di Stadium Perak, 13 Julai lalu – kekalahan keempat skuad TBG selepas terdahulu tunduk 1-3 kepada Terengganu (11 Mei), 2-3 kepada PDRM (18 Mei) dan 1-2 kepada Selangor FC (23 Jun) di samping tunduk 1-2 kepada Terengganu dalam aksi kalah mati Piala FA pada 14 Jun.
“Pertama sekali saya bersyukur kerana masih diberi kepercayaan, semuanya daripada ALLAH jua. Tapi tak bolehlah hanya menyatakan syukur tanpa memikul tanggungjawab dengan lebih berkesan. Saya faham keputusan tidak memihak kami tapi pengurusan tetap beri sokongan penuh.
“Dalam tempoh dua minggu ini, kami persiapkan diri hadapi Kelantan Darul Naim FC (di Kota Bharu, Jumaat ini) dan Kuching City (di Ipoh pada 30 Julai). Kerjasama sepenuhnya amat ditagih daripada setiap pegawai dan pemain,” katanya kepada Bola Pegun.
Perak kini mengalami masalah prestasi. — Perak Football Club
Ia adalah kali pertama jurulatih itu memberi reaksi terhadap pengumuman Perak itu.
Jika masih diingati, Yusri menghamburkan kekecewaannya terhadap persembahan buruk yang ditampilkan dalam kekalahan terbaru kepada Penang dua minggu lalu hingga jurulatih itu menuntut rasa bertanggungjawab daripada pemain-pemainnya yang sepatutnya berasa malu dengan persembahan sendiri.
"Saya rasa ini persembahan paling buruk pemain daripada lima perlawanan yang telah kita tampilkan dalam liga mahupun Piala FA," katanya seusai perlawanan di Stadium Perak itu sambil meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap semua pemain – import tidak terkecuali -- yang hilang keyakinan seolah-olah tidak menginginkan kemenangan dengan semua pergerakan serba tidak menjadi.
Apakah empat kekalahan liga dan sokongan penuh pengurusan Perak membuatnya berasa tertekan?
Yusri mengandaikan semua jurulatih dalam Liga Malaysia akan berasa tekanan sedemikian – pasukan yang menang perlu meneruskan catatan kemenangan manakala pasukan yang kalah perlu bangkit untuk menebusnya.
“Apabila terima tanggungjawab sebagai jurulatih, saya sudah bersedia untuk hadapi tekanan yang datang bersama tugas ini.
“Bagaimana nak naikkan semangat kita kembali, bagaimana nak capai kemenengan, bagaimana nak lunaskan harapan pengurusan dan penyokong. Semua ini perlu sokongan pemain dan staf,” katanya.
Ditanya apakah kesudahan mengecewakan seperti dilalui Teong Kim pernah terlintas di fikirannya, jurulatih itu mengakui setiap jurulatih terdedah kepada bukan saja kemenangan tetapi juga kekalahan yang seboleh-bolehnya mahu dielakkan.
“Saya tak nampak kenapa saya harus takut. Kita perlu berjuang dahulu sebelum mengaku kalah. Saya akan berjuang dalam baki perlawanan. Untuk puaskan hati semua orang, itu tak akan berlaku tapi saya akan lakukan sehabis daya,” katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram