KEMENANGAN penting diraih skuad Sang Penyu ke atas Selangor FC dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Jumaat lalu.
Gol daripada Safawi Rasid, Nurillo Tukhtasinov dan Ismahil Akinade menyaksikan keputusan 3-2 berpihak kepada tuan rumah sementara gol lawan dihasilkan Noor al-Rawabdeh dan Alvin Fortes.
Meskipun hanya bekalan nipis dimiliki kelab Pantai Timur itu untuk aksi timbal balik, ia sedikit sebanyak memastikan mereka dalam landasan tepat untuk ke pentas akhir kejohanan.
BACA LAGI: Belum sampai sebulan, Ruziev sudah ada bos baharu, sertai kelab lama bintang Terengganu
BACA LAGI: 'Sibuk nak pemain orang', fans Terengganu melatah Marin Pilj dikhabar ke liga seberang
Hishamuddin (kanan) bersama Johan Kamal ketika aksi antara Terengganu FC dan Selangor FC. — Facebook/Hishamuddin Abdul Karim
Perkara itu turut diakui Exco Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim yang hadir menyaksikan aksi tersebut di samping Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Johan Kamal Hamidon.
Menurutnya, kemenangan berkenaan tidak bermakna skuad bimbingan Tomislav Steinbruckner boleh berpuas hati memandangkan Selangor FC memiliki kelebihan setiap kali beraksi di Stadium MBPJ, Selangor.
Laungan untuk menyaksikan Terengganu FC meneruskan momentum pasukan dibuat di laman Facebook peribadinya yang menerima respons baik daripada penyokong Sang Penyu.
Namun, tinjauan di ruangan komen mendapati terdapat sebahagaian besar pengikut setia pasukan membuat luahan berhubung isu dan mutu keselamatan di stadium tersebut.
Aksi antara Terengganu FC dan Selangor FC meraih sambutan amat menggalakkan. — Facebook/Terengganu FC
Antara yang berbuat demikian ialah Encik Labu yang menyenaraikan lima kelemahan dapat disaksikan dari segi infrastruktur venue perlawanan berkenaan.
"Semasa gol, ada kala dapat rasakan gegaran pada struktur stadium, tidak pasti adakah ini standard atau tidak. Kedua, mengenai kesesakan kerana saya dan ramai lagi terpaksa berhimpit dan duduk di tangga.
"Ada pula yang berdiri di hadapan pintu dan pagar. Lebih menarik sekiranya dapat duduk di kerusi dan nampak jelas. Kita faham dan sokong, tapi itulah, kita sudah bayar dan tiket seakan-akan tidak logik," tulisnya.
Isu keselamatan ditimbulkan penyokong Terengganu FC sebelum ini berikutan kegagalan pihak pengurusan mengawal limpahan penonton ketika memasuki stadium dengan sebanyak lebih daripada 30,000 tiket habis dijual.
Masalah berkenaan menyaksikan pelbagai luahan dibuat di media sosial dengan mengatakan beberapa pengunjung tidak dapat menonton perlawanan dalam keadaan selesa.
Luahan penyokong Terengganu FC di ruangan komen Hishamuddin Abdul Karim.
"Ketiga, liputan Internet agak teruk. Ingatkan duduk di luar, bolehlah tonton perlawanan di telefon bimbit, tetapi sayang kerana liputan agak mengecewakan, harap dapat ditambah baik ketika waktu kemuncak.
"Selain itu, andai berlaku keadaan seperti hari perlawanan, cadangan adalah dengan meletakkan layar besar di luar stadium. Bolehlah sesiapa yang tidak dapat masuk atau membawa anak kecil menyaksikan di perkarangan.
"Akhir sekali, sokongan di Rumbu. Penyokong hadir dari segenap pelusuk Terengganu. Anak yang masih sekolah rendah mahu pergi, kita sebagai ibu bapa akan bawa walaupun hanya duduk di luar. Mereka ini datang sebagai pelapis bola sepak dan penonton," tulisnya.
Sokongan penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin musim ini jarang mengecewakan dengan ia kunci utama di sebalik kejayaan mereka berada di tangga ketiga Liga Super setakat ini.
Bagaimanapun, mereka perlu bersedia untuk aksi tempat lawan apabila bakal bertandang ke Stadium MPBJ pada awal bulan Ogos bagi perlawanan kedua separuh akhir Piala FA. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram