Anggap perlawanan pertama Olimpik sangat penting, Roslin Hashim ramal potensi 3 beregu negara


  • Podium
  • Sabtu, 27 Jul 2024

Pearly-Thinaah berdepan perlawanan pertama yang sukar bertemu beregu China. — The Star/IZZRAFIQ ALIAS

TEMASYA Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis sudah bermula dengan setiap negara akan berusaha keras untuk memburu kilauan pingat terutamanya emas.

Begitu juga dengan Malaysia, pemburuan pingat emas pertama masih lagi diteruskan dengan rezeki masih belum berpihak negara untuk memperolehnya.

Namun, percubaan sekali lagi dimulakan dari pelbagai seperti basikal trek, terjun, olahraga termasuklah badminton. Seperti selalunya, badminton akan menjadi sandaran meraih kilauan emas.

BACA LAGI: Jangan hampa pulang tangan kosong, skuad badminton ada sasaran lebih besar di Olimpik

BACA LAGI: Dapat bajet tertinggi RTG, badminton kekal sukan harapan buru emas Olimpik

Pada Sabtu, cabaran negara di gelanggang badminton bermula dengan Porte de la Chapelle Arena, Paris menjadi saksi tiga beregu negara turun beraksi.

Beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei akan memulakan berdepan wakil Singapura, Terry Hee-Jessica Tan pada 3.20 petang waktu Malaysia.

Ia disusuli gandingan beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah berdepan tugas sukar menentang pilihan pertama dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada 4.10 petang waktu Malaysia.

Sementara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik menentang wakil Great Britain, Ben Lane-Sean Vendy pada waktu yang sama Pearly-Thinaah beraksi.

Chen Tang Jie and Toh Ee Wei celebrate after winning the Orleans Masters in France yesterday.

Chen Tang Jie-Toh Ee Wei berdepan wakil Singapura pada aksi pertama.

Melihat kepada permulaan ini, bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim, dia berpendapat ketiga-tiga beregu perlu menang perlawanan pertama.

"Bila main dalam peringkat kumpulan, perlawanan pertama adalah aksi yang penting, kalau kita menang, peluang untuk mara itu adalah cerah walaupun masih ada dua perlawanan.

"Tapi ia adalah lebih kepada motivasi untuk diri sendiri, bila kita menang kita mesti akan rasa seronok. Lebih-lebih lagi macam gandingan Pearly-Thinaah yang berada dalam kumpulan maut.

"Masing-masing nak menang, pemain tak ada pemikiran 'kalah perlawanan pertama, boleh cuba perlawanan kedua', mereka mesti nak menang pada percubaan pertama lagi," kata Roslin kepada Majoriti.

1374795

Aaron Chia-Soh Wooi Yik dijangka mudah ke pusingan kalah mati.

Mencongak peluang mereka untuk ke pusingan seterusnya, Roslin berpendapat barisan beregu negara tiada masalah untuk mara ke peringkat kalah mati.

Tetapi yang pasti, mereka perlu fokus untuk memastikan berjaya dapat layak ke peringkat seterusnya.

"Di atas kertas, gandingan beregu lelaki misalnya tiada masalah untuk mara. Tapi bila berada di peringkat seterusnya, mereka akan bertemu lawan yang lebih kuat. Yang penting, lepas dulu peringkat kumpulan.

"Sebab itu pentingnya (menang) perlawanan pembukaan. Sebab (pemain) akan berdepan dengan cabaran sekeliling seperti lokasi baharu, suasana Sukan Olimpik yang jelas berbeza dengan kejohanan-kejohanan lazim mereka sertai. Jika mereka menang perlawanan pertama, mereka akan peroleh motivasi tambahan.

"Yang penting, mereka sudah melakukan persiapan rapi. Tapi apabila di peringkat kalah mati, persiapan lebih serius lebih dilakukan," ujar Roslin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram