KETUA jurulatih Kuala Lumpur City FC, Miroslav Kuljanac lega apabila tonggak utama, Brendan Gan dan Kamal Azizi kembali cergas untuk menghadapi aksi menentang Sri Pahang FC dalam aksi Liga Super pada Sabtu ini.
Brendan diketepikan dalam aksi derbi Lembah Klang berdepan Selangor FC tempoh hari susulan kecederaan manakala Kamal Azizi pula berehat lama ekoran cedera di bahagian pergelangan tangan sejak Mei lalu.
Bagaimanapun, Kuljanac positif dua pemain itu semakin pulih dan telah kembali berlatih bersama pasukan pada minggu ini sambil menyifatkan persiapan pasukan kini lebih baik dalam misi meraih tiga mata berdepan anak buah Fandi Ahmad nanti.
BACA LAGI: Yusri Che Lah cetus inspirasi untuk Perak FC bangkit, terus mara
BACA LAGI: Desakan ‘YCL Out’ lepas tewas 4 kali, Perak FC masih berdiri di belakang Yusri Che Lah
“Persiapan kami semakin baik dengan beberapa pemain yang sebelum ini mengalami kecederaan telah kembali ke sesi latihan dan itu merupakan perkembangan yang positif.
“Walaupun ada yang tidak lagi cergas 100 peratus tetapi setidaknya mereka sudah bersama kita dalam latihan termasuklah Brendan Gan dan juga Kamal Azizi yang telah kembali.
“Sekarang saya beritahu kepada pemain bahawa tempoh hari kita sudah buktikan kepada semua yang kita boleh bermain dengan baik apabila menang dengan Selangor dan saya rasa jika kita boleh kekalkan momentum ini, keputusan yang positif akan dapat diraih lagi," katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Bercakap mengenai pasukan Sri Pahang, jurulatih dari Croatia ini menyifatkan barisan pemain lawannya itu mempunyai kualiti tersendiri secara individu dan tidak melihat kedudukan Liga Super sebagai ukuran untuk mereka memandang rendah terhadap kelab tersebut yang kini di tangga ke 10 liga.
Kuljanac lega pemain utamanya Brendan dan Kamal Azizi kembali cergas untuk diturunkan dalam aksi menentang Tok Gajah. — Facebook/KL City FC
“Masih terlalu awal untuk saya katakan kita ada kelebihan berdasarkan kedudukan liga sebab semua pasukan sedang bersaing rapat antara satu sama lain.
“Satu kemenangan boleh letak kita di atas dan satu kekalahan boleh letak kita di bawah, jadi Sri Pahang tetap saya anggap antara kelab yang baik dan mereka mempunyai jurulatih hebat.
“Pemain-pemain juga bagus seperti penyerang mereka dan daripada aspek individu, mereka ada kualiti sendiri jadi sudah tentu ini akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami," tambahnya.
Selepas empat perlawanan, skuad Warga Kota kini di kedudukan keempat Liga Super dengan dua kemenangan telah diperoleh, satu tewas dan satu seri. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram