Anggap stigma sudah berkurang, bintang Selangor FC akui bola sepak wanita semakin diterima ramai


  • Podium
  • Khamis, 25 Jul 2024

Eva Olivianie menganggap stigma terhadap bola sepak wanita sebagai motivasinya untuk berjaya. — Selangor FC Women

SATU masa dahulu, ia dianggap janggal apabila melihat wanita bermain bola sepak. Mana tidaknya, sukan itu sering dikaitkan dengan lelaki dan penglibatan wanita cukup terhad.

Namun kini, ia sudah berubah, bola sepak dilihat semakin terbuka menerima wanita dan ia semakin berkembang terutamanya di benua Amerika dan Eropah.

Malah, perkembangan itu mula datang kepada Malaysia dengan bola sepak wanita di negara ini semakin berkembang.

BACA LAGI: Kena jaga pemakanan, juadah sedap Aidilfitri menduga duo bintang Selangor Women

BACA LAGI: Komen negatif dan Intan Serah jadi motivasi, bek kiri Tigress ada cara sendiri cipta nama

Seiring dengan perkembangan, stigma terhadap bola sepak wanita juga semakin pudar dalam kalangan masyarakat kita. Bagi pemain Selangor FC Women, Eva Olivianie, perubahan itu membuatkan bola sepak wanita Malaysia semakin mendapat perhatian ramai.

"Berbanding dulu, sekarang sudah lebih ramai yang terbuka dengan bola sepak wanita. Malah, semakin ramai mula mengambil tahu mengenainya.

"Sekarang ini timbul minat oleh orang ramai terhadap bola sepak wanita, boleh kata ada peningkatan kerana sebelum ini tiada siapa yang peduli.

"Orang ramai sekarang lebih menerima yang bola sepak itu bukan saja dimainkan oleh kaum lelaki tetapi kaum wanita juga sama," kata Eva dalam program Duduk Sembang terbitan Majoriti.

427998458_122145421388183925_3387018811452995473_n

Eva merupakan pemain pertahanan kiri. — Selangor FC Women

Walaupun stigma itu sudah mula pudar, tetapi Eva tidak menafikan dia masih berdepan situasi tersebut ketika beraksi.

Akan tetapi, dia mengambil jalan dengan menjadikan ia sebagai satu motivasi menjadi pemain lebih baik dan membuktikan mereka yang mengejinya adalah silap.

"Saya menganggap itu adalah normal dan kritikan buat saya. Saya dan pemain lain mengambilnya sebagai motivasi untuk pergi jauh.

"Lama-lama saya akan biasa, lepas tu buat tak tahu saja. Saya ambil itu sebagai motivasi untuk buktikan yang mereka salah," ujar Eva.

Saksikan Duduk Sembang bersama Eva Olivianie sebagai tetamu secara langsung pada Jumaat, 26 Ogos pukul 8.30 di Facebook dan TikTok Majoriti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram