Dapat bajet tertinggi RTG, badminton kekal sukan harapan buru emas Olimpik


  • Podium
  • Jumaat, 01 Mac 2024

Gandingan Pearly Tan (depan) dan M. Thinaah (belakang) antara senarai atlet dalam program Road To Gold. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

MASA semakin hampir buat Malaysia sekali lagi mencuba untuk memburu pingat emas pertama di Sukan Olimpik dengan sasaran tersebut diarahkan kepada temasya Paris 2024.

Sekali lagi, badminton menjadi sandaran utama Malaysia dalam memburu pingat emas walaupun ketika ini terdapat beberapa isu melibatkan kecederaan dan prestasi pemain.

Perkara itu menjadi bukti apabila Kementerian Belia & Sukan (KBS) menyediakan peruntukan dana terbesar buat sukan badminton dalam program Road To Gold (RTG).

Menurut siaran dikeluarkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN), sukan badminton menerima dana tertinggi iaitu melebihi RM2 juta meliputi dua pecahan iaitu PRO dan BAM buat Persatuan Badminton Malaysia.

Bagi kategori PRO, dana sebanyak RM1.06 juta diberikan sementara RM1.1 juta diagihkan buat BAM bagi memastikan badminton berhasil membawa pulang pingat emas di Paris kelak.

Nilai tersebut jauh meninggalkan sukan-sukan lain seperti berbasikal yang menerima RM465 ribu, akuatik terjun (RM458 ribu) dan hoki (RM342 ribu). Sukan yang menerima peruntukan terendah adalah angkat berat iaitu sebanyak RM20 ribu sahaja.

BACA LAGI: 'Terima kasih doakan saya', TCH tinggalkan pesanan ringkas buat fans Selangor

BACA LAGI: Cheng Hoe lepaskan jawatan, kenapa mahu salahkan JDT?

Asas kepada pemberian dana terbesar buat sukan badminton adalah bilangan atlet teramai dalam program RTG hadir daripada sukan tersebut.

Gandingan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik serta Pearly Tan-M. Thinaah merupakan muka utama sukan badminton dalam program RTG. Selain itu, Ong Yew Sin, Teo Ee Yi, Ng Tze Yong, Cheng Tang Jie dan Toh Eei Wei turut berada dalam senarai.

Program RTG kali ini menyaksikan beberapa nama besar sukan negara tidak tersenarai atas pelbagai sebab. Sebagai contoh, pemain perseorangan utama negara, Lee Zii Jia memilih bergerak sendiri untuk temasya kali ini.

Sementara Datuk Pandelela Rinong dan Nur Dhabitah Sabri digugurkan selepas gagal melayakkan diri ke temasya tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram