DaddyHood di markas JDT beri petanda Harimau Selatan sedia gegar MPL musim depan


  • Podium
  • Jumaat, 26 Jul 2024

DaddyHood yang mengasaskan Homebois pada 2020 antara individu berpengaruh dalam dunia esports. — Media Sosial

KELIBAT pengasas pasukan Homebois, Nureddy Nursal di pejabat Johor Darul Ta'zim (JDT) dekat Iskandar Puteri, Johor semakin mencetuskan tanda tanya mengenai khabar angin pasukan gergasi tanah air itu mahu melibatkan diri dalam dunia e-sports.

Desas-desus Harimau Selatan dikatakan ingin membina empayar baharu dalam kancah Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL) mula hangat dibincangkan sejak awal tahun ini namun tiada sebarang pengesahan rasmi dari kelab tersebut.

Hantaran dari Nureddy ataupun lebih mesra dengan sapaan DaddyHood di Insta Story pada Khamis bagaimanapun memberi petunjuk bahawa Harimau Selatan semakin hampir menjadi pesaing baharu dalam perlawanan tertinggi Mobile Legends tanah air.

BACA LAGI: Selangor Red Giants kecapi gelaran dunia, dapat pujian melambung PM Anwar, MB Selangor

BACA LAGI: Kekurangan tak halang Syakz mahir MLBB, harumkan nama negara di Asia Tenggara

Tidak pasti sama ada Homebois yang akan berkolaborasi bersama JDT atau kepakaran DaddyHood akan dicurahkan untuk membantu Harimau Selatan membina pasukan baharu bagi saingan MPL musim depan nanti.

Jika benar DaddyHood atau Homebois sendiri akan bekerjasama dengan JDT, ia ibarat impian tertunai buat penggiat e-sukan itu susulan dia sebelum ini menjadikan Harimau Selatan sebagai idola.

DaddyHood menyatakan dalam laporan Majoriti sebelum ini, bahawa erti tidak kenal putus asa JDT menjadi contoh dan berharap dapat mengekalkan kejuaraan MPL pada musim depan menjadi miliknya.

Dalam pada itu, penyertaan JDT ke dunia MLBB boleh dianggap satu pelaburan yang berbaloi buat kelab berkenaan lagi-lagi jika melihat kepada wang kemenangan diraih jika bergelar juara dunia seperti Selangor Red Giants (SRG).

WhatsApp Image 2024-07-26 at 13.02.15 (1)

Tangkap layar hantaran Insta Story DaddyHood.

Untuk rekod, SRG merangkul kejuaraan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024, selepas menumbangkan Filipina Falcpons AP Bren Sport 4-3 pada kejohanan antarabangsa berkenaan.

Jika dibandingkan wang kemenangan dengan Liga Super yang menyaksikan Harimau Selatan meraih wang berjumlah RM1.9 juta, pertandingan MSC MLBB pula menawarkan RM4.7 juta untuk juara.

Penglibatan JDT dalam dunia e-sukan bukan sesuatu yang baharu susulan kelab berpangkalan di Selatan tanah air itu mempunyai pasukan untuk permainan video FIFA ataupun kini lebih dikenali sebagai EA Sports FC iaitu JDT|GBX Esports. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram