Homebois lupakan kepahitan M5, semangat JDT iringi perjalanan musim 2024


  • eSports
  • Sabtu, 30 Dis 2023

Homebois kini sedang mempersiapkan pasukan untuk kejohanan 'Games of the Future' di Rusia pada Februari tahun depan.

HAJAT tidak kesampaian buat pasukan Mobile Legends nombor satu Malaysia, Homebois apabila perjuangan mereka di Kejohanan Dunia Siri Ke-5 (M5) Mobile Legends Bang Bang (MLBB) 2023 di Manila, Filipina terkandas lebih awal daripada yang diimpikan semua komunti e-sukan tanah air.

Pada awal kejohanan, Homebois memulakan kempen dengan agresif apabila menewaskan pasukan popular, Geek Fam dari Indonesia 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan D namun cerita selepas itu menyaksikan mereka tewas 2-1 kepada wakil Rusia, DeusVult.

Perjuangan mula menemui titik nokhtah apabila juara Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL) musim ke-12 itu gagal mendapatkan tempat kedua teratas untuk melayakkan diri ke pusingan kalah mati berikutan tersingkir di tangan pasukan Amerika Syarikat, TheOhioBrothers (TOB) dengan keputusan 1-2.

Pengasas pasukan Homebois, Nureddy Nursal melihat bahawa keserasian antara jurulatih Khairul Azman ataupun Pabz dan para pemain semakin pudar sehingga mereka tidak boleh tampil dengan strategi yang lebih segar untuk menewaskan lawan berbeza.

20231206_M5_GROUP STAGE DAY 06_MATCH 03_HB VS TOB_GAME 02_011

Pabz menyertai Homebois sebagai jurulatih Homebois pada Julai 2023.

Selain daripada itu, Nureddy ataupun lebih mesra dengan sapaan DaddyHood juga berpendapat bahawa tekanan mengejar mata dek nasib ibarat telur di hujung tanduk juga sedikit sebanyak menyumbang kepada kenangan pahit berkenaan.

“Saya rasa faktor utama kalah disebabkan syncronized antara coach dengan pemain dah sampai limit. Coach dengan pemain saya tidak boleh nak deliver lebih. Salah satu sebab juga mungkin jadual yang agak padat.

“Kita habis MPL bulan Oktober, kejohanan MPLI (MPL Invitational) di Indonesia bulan 11 dan Manila pula bulan 12. Jadual bukanlah faktor utama tapi idea jurulatih tidak sampai ke lebih tinggi dalam kejohanan M5.

“Jika tanya saya, pemain dan coach masing-masing ada kesilapan. Cuma coach patut lebih tegas tapi rata-ratanya lebih mempertikaikan draft. Secara logiknya, draft sepatutnya digunakan tapi tak digunakan. Semasa latihan kita berjaya tapi bila nak laksanakan semasa kejohanan sebenar tak jadi,” katanya kepada Majoriti.

20231206_M5_GROUP STAGE DAY 06_MATCH 03_HB VS TOB_GAME 01_014

DaddyHood mula mengasaskan Homebois pada 2020.

Pilihan Draf ataupun Draft Pick yang diadakan sebelum perlawanan berlangsung adalah situasi yang mana para pemain boleh memilih hero berdasarkan peranan dan gaya permainan pasukan.

Draft Pick juga membantu pemain untuk menyesuaikan diri dan menyusun strategi di kalangan rakan sepasukan mereka untuk lebih mudah meraih kemenangan.

Walaupun kisah Homebois di MLBB 2023 tidak berjalan seperti yang dirancang namun pasukan berkenaan tidak lagi mengenang kisah sedih mereka di Filipina dan sebaliknya meneruskan persiapan untuk pelbagai kejohanan pada tahun depan.

Menurut DaddyHood, pasukan miliknya itu akan bertambah sibuk pada 2024 apabila akan menyertai kejohanan 'Games of the Future' di Rusia pada Februari tahun depan, yang mana menjanjikan wang kemenangan berjumlah AS$1 juta (RM4.8 juta).

20231206_M5_GROUP STAGE DAY 06_MATCH 03_HB VS TOB_GAME 03_034

Homebois bersalaman dengan pemain TOB dengan keputusan 1-2.

“Sekarang semua pemain dah move on. Dah sedia untuk 2024. Mereka tidak menyalahkan sesama sendiri cuma menyesal sebab mereka rasa boleh buat lebih. Tapi tahun depan banyak benda lagi kena buat.

“Bulan Februari nak ke Rusia untuk Game of Future, hadiah kemenangan lagi tinggi iaitu AS$1 juta manakala (kejohanan lain) M5 AS$900,000. Pasukan yang bertanding pun team M5. Lepas itu kena sedia untuk dan bersedia untuk Worldcup (World Esports Championship) di Riyadh, Arab Saudi,” tambahnya.

Apa yang menarik mengenai semangat juang Homebois, DaddyHood menyatakan bahawa erti tidak kenal putus asa pasukan bola sepak gergasi tanah air, Johor Darul Takzim (JDT) menjadi contoh dan berharap dapat mengekalkan kejuaraan MPL pada musim depan menjadi miliknya.

20231206_M5_GROUP STAGE DAY 06_MATCH 03_HB VS TOB_GAME 01_02

Homebois terpaksa akur gagal melayakkan diri ke peringkat kalah mati.

Menurutnya, dia ingin setiap pemain tidak menerapkan mentaliti terlalu selesa berada di atas sehingga akhirnya merosakkan karier diri sendiri dan pasukan yang dianggotai oleh lima pemain itu.

Untuk rekod, HomeBois meletakkan lima pemain iaitu Chibi (Muhammad Nazhan Mohd Nor), Warlord (Rizky Agustian), RaizeL (Wahyu Saputra), Xorn (Muhammad Zul Hisham Mohd Noor) dan Barbossa (Arya Al Nazhari) ketika saingan M5 lalu.

“Harapan saya, belum ada lagi team Malaysia yang buat back to back champion. Saya harap Homebois pasukan pertama buat menang back to back untuk musim 12 dan 13.

“Kita tengok JDT, mereka pun ambil masa empat tahun untuk hebat sampai tahap ini. Walaupun dah 10 kali juara dalam liga tapi bila di luar ada kala jadi dan ada tak jadi. Jadi kena terus mencuba dalam perjalanan ini,” jelasnya.

Dari hanya menjadi pasukan belasahan di awal kemunculan, Homebois perlahan-lahan mempunyai peminat tersendiri dan pencapaian membanggakan seperti menjuarai Kohai SEA Championship Musim 1 pada April 2023 yang diadakan secara atas talian. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram