Kekurangan tak halang Syakz mahir MLBB, harumkan nama negara di Asia Tenggara


  • Podium
  • Sabtu, 13 Apr 2024

Syakz kini terlibat dalam MAL dan bercita-cita untuk melahirkan lebih ramai pemain MLBB pada masa akan datang.

PERMAINAN dalam talian, Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) sudah menjadi antara pilihan utama buat penggemar permainan video yang boleh diakses menerusi telefon bimbit.

MLBB yang dilancarkan pada 2016 itu menjadi pilihan ramai kerana mudah difahami selain dimainkan secara kompetitif di setiap negara, terutamanya sekitar rantau Asia Tenggara.

Namun, keterujaan itu tidak dapat dirasai golongan orang kelainan upaya (OKU) secara keseluruhan kerana permainan itu memerlukan dua belah tangan untuk memainkannya.

Tetapan sebegitu pasti menghalang seseorang yang dalam kelompok itu meluangkan masa bermain MLBB apabila mereka perlu memilih untuk mencuba permainan lain.

BACA LAGI: Bintang 'sebelah tangan', atlet comel bertudung mahu takluk MLBB

WhatsApp Image 2024-04-12 at 18.22.46

Keadaan Syakz sebelum terlibat dalam kemalangan yang mengubah hidupnya.

Bagaimanapun, bagi Ahmad Syakirin Zamharin, keadaan fizikalnya tidak menghalang daripada bergiat dalam permainan itu sehingga berada di tahap profesional.

Menurutnya, kecacatan dialami akibat kemalangan beberapa tahun lalu bukanlah cabaran untuknya menjadi seorang pemain meskipun pernah mempersoalkan keputusan dirinya di peringkat awal.

"Saya pernah tertanya, bolehkah saya bermain dengan hanya satu tangan? Adakah orang ramai akan menghina kekurangan kerana kita sendiri tidak boleh membaca hati masing-masing.

"Jadi, pada mulanya, saya ragu-ragu untuk terlibat, tetapi dorongan daripada rakan dan keluarga, saya memilih untuk ambil jalan ini," katanya kepada Majoriti.

BACA LAGI: Lancelot antara 4 hero MLBB jadi pilihan ramai pada 2023

Ahmad Syakirin aka Syakz 2

Syakz (kiri) ketika berentap dalam Sukan Para Asean tahun lalu.

Syakirin atau lebih dikenali sebagai Syakz pernah menjadi bahan bualan peminat esports setelah membantu negara meraih pingat gangsa dalam Sukan Para ASEAN 2023.

Menurutnya, keputusan untuk menyertai sukan itu dibuat sahabat terdekatnya yang membantu dari segi motivasi supaya mencuba nasib untuk mengharumkan nama negara.

Ketika ini, atlet esports berkenaan terlibat aktif dalam Liga Akademi MLBB (MAL) yang dibangunkan dalam negara bertujuan mencari bakat-bakat baharu dalam permainan berkenaan.

"Pada saya, bakat muda sangat menakjubkan dan luar di jangkaan kita kerana mereka mampu melakukan sesuatu yang kita tidak boleh bayangkan. Gaya permainan mereka boleh bersaing dalam MLBB Profesional League Malaysia (MPL).

"Saya rasa, jika MAL adakan pertandingan untuk kategori paralimpik, mungkin akan lebih ramai pemain OKU yang akan terlahir," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram