Selangor Red Giants kecapi gelaran dunia, dapat pujian melambung PM Anwar, MB Selangor


  • eSports
  • Isnin, 15 Jul 2024

Kemenangan dicatatkan ke atas Falcons AP Bren Sport mengesahkan kejayaan Selangor Red Giants. — Instagram/yoodoredgiants

KEJAYAAN cukup membanggakan dikecapi Selangor Red Giants apabila merangkul kejuaraan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) 2024 pada Ahad.

Pertandingan yang mengumpulkan pasukan daripada pelbagai negara itu boleh dikatakan sebagai antara kejohanan digeruni dalam sukan esports itu.

Jadi, tidak hairanlah apabila pencapaian pasukan Lembah Klang tersebut diraikan selepas mereka menundukkan wakil dari Filipina, Falcons AP Bren Sport dengan kemenangan tipis 4-3.

BACA LAGI: Kekurangan tak halang Syakz mahir MLBB, harumkan nama negara di Asia Tenggara

BACA LAGI: Bintang 'sebelah tangan', atlet comel bertudung mahu takluk MLBB

WhatsApp Image 2024-07-15 at 9.24.54 AM

Ucapan tahniah diberikan Anwar kepada wakil tempatan tersebut.

Keputusan yang direkodkan itu sudah cukup untuk menyaksikan Selangor Red Giants menjadi pasukan tempatan pertama memenangi pertandingan berkenaan.

Pujian cukup hebat sudah tentu diberikan peminat permainan online kerana kejayaan tersebut sudah tentu sukar diulangi pada masa akan datang.

Ucapan itu turut disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi satu hantaran di aplikasi X yang memuji pencapaian Selangor Red Giants itu.

"Sekalung tahniah buat pasukan Selangor Red Giants kerana mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia!" tulisnya ringkas.

WhatsApp Image 2024-07-15 at 9.28.00 AM

Amirudin (kanan) hadir menonton perlawanan akhir MSC 2024 pada Ahad. X/Amirudin Shari

Kata-kata berkenaan sudah tentu menaikkan lagi moral juara Liga Profesional MLBB Malaysia (MPL) musim ke-13 tersebut.

Tidak cukup dengan itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut mengambil kesempatan memberi ucapan penghargaan buat pasukan berkenaan.

"Sejarah tercipta! Selangor Red Giants juara dunia! Tahniah kerna berjaya menumpaskan juara dunia, Falcons AP Bren. Alhamdulillah! Kejayaan buat semua rakyat Malaysia," tulisnya.

Ahli Parlimen Sungai Tua itu boleh dikatakan sebagai pengikut setia Selangor Red Giants memandangkan dia turut menyaksikan perlawanan akhir berkenaan.

Kejayaan direkodkan pasukan berkenaan pasti akan menjadi pemangkin buat pasukan esports tempatan lain dalam misi mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram