SELEPAS beraksi menggunakan jersi pramusim untuk tiga bulan aksi Liga Malaysia, Kedah Darul Aman (KDA) FC akhirnya mengumumkan pakaian baharu bagi musim 2024/25.
Jersi yang tidak menampilkan penaja rasmi itu boleh dikatakan sesuatu yang agak baharu dalam arena bola sepak tanah air dengan perkara sedemikian jarang dilihat sebelum ini.
Namun, berikutan kegagalan membawa masuk penaja utama, mereka terpaksa mengambil keputusan demikian meskipun terdapat usaha untuk memeterai perjanjian dengan mana-mana syarikat sebelum ini.
BACA LAGI: Assifuah jadi 'poster boy', Nafuzi Zain seperti bagi petunjuk penggempur utama KDA FC
BACA LAGI: [VIDEO] 'Jualan air mineral KDA FC lebih efektif berbanding produk Vida semasa di Kelantan'
Jadi, dengan jersi baharu sudah diumumkan, sudah pasti terdapat usaha untuk mengaut keuntungan dengan jualan daripadanya demi kebajikan kelab.
Dalam usaha memastikan usaha itu dapat dicapai, pemilik KDA FC, Tan Sri Mohd Daud Bakar tampil mengingatkan penyokong supaya tidak membeli barangan cetak rompak.
"Jangan pula kita mendapatkan jersi yang tidak asli. Belilah yang original dan uar-uarkan kepada rakan dan saudara mara agar tidak menyentuh produk tidak asli," katanya.
Gesaan tersebut adalah cukup penting memandangkan KDA FC berdepan masalah dalaman ketika ini berikutan kegagalan membawa masuk sebuah penaja rasmi.
Meskipun sudah cuba berunding dengan beberapa syarikat, kekangan yang timbul menyaksikan pasukan berkenaan kekal tanpanya setakat ini.
Selain mengumumkan jersi 'home' Sang Kenari, majlis pelancaran itu turut memperkenalkan jersi 'away' dan penjaga gol dengan rekaan berbeza ditampilkan.
Pengumuman itu sudah tentu menjadi bahan mulut penyokong Hijau Kuning yang sudah berminggu-minggu menantikan kelainan bakal ditampilkan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram