BERBAKI tiga hari lagi sebelum Kedah Darul Aman (KDA) FC akan memulakan tirainya dengan pasukan Utara tanah air berkenaan akan berdepan cabaran pasukan Liga A1 Semi Pro, Bukit Tambun FC.
Walaupun ada yang menganggap skuad Sang Kenari memperoleh laluan lebih mudah dalam saingan Piala FA ini namun pasukan kerdil seperti Bukit Tambun pasti akan berusaha sedaya upaya untuk lolos ke pusingan seterusnya.
Difahamkan, Bukit Tambun FC musim ini akan mempertaruhkan pemain yang berkualiti seperti bekas kapten pasukan Penang FC, Abdul Qayyum Jabrullah dan Muhammad Rafiuddin Roddin akan mengisi kekosongan pertahanan kiri.
BACA LAGI: Kedah berebut dengan Selangor ingin dapatkan Irfan Fandi?
BACA LAGI: Piala FA: Laluan sukar menanti Terengganu, Kedah dapat jalan mudah
Sementara Kedah juga dijangka akan mempertaruhkan penyerang baharu mereka iaitu Ebenezer Assifuah sebagai senjata untuk merobek pertahanan Bukit Tambun dalam aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah pada Jumaat ini.
Keterujaan penyokong untuk melihat Assifuah sebagai penggempur utama Jumaat ini bermula apabila penyerang kelahiran Ghana itu dijadikan sebagai 'poster boy' untuk aksi melayan kunjungan Bukit Tambun nanti.
Pada poster berkenaan menyaksikan Assifuah diletakkan bersama gambar Fayadh Zulkifli dengan mengimbau kembali tahun kemenangan mereka dinobatkan sebagai juara Piala FA iaitu pada 1996, 2007, 2008, 2017 dan musim 2019.
Sekiranya Nafuzi Zain selaku pengendali utama Kedah akan memilih Assifuah sebagai penyerang utama pada Jumaat ini, ia merupakan penampilan kedua pemain berusia 30 tahun tersebut bersama skuad Hijau Kuning bagi musim ini.
Assifuah hanya beraksi selama 19 minit pada penampilan pertamanya iaitu ketika Sang Kenari akur dengan kekalahan 0-2 di tangan Perak FC hasil dua jaringan Lee Tae-min pada 24 Mei lalu.
Penyerang itu dimasukkan bagi menggantikan Milos Gordic bagi membantu jentera serangan Sang Kenari dilihat buntu selepas ketiadaan Syafiq Ahmad yang terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan.
Kemasukan bekas pemain nasional Ghana itu ternyata memberikan impak positif buat Sang Kenari dengan larian serta skil yang ditampilkannya di penghujung permainan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram