Kemenangan ranapkan kelab Lembah Klang jadi motivasi penyerang KDN mahu patahkan sayap Sang Kenari


  • Podium
  • Jumaat, 12 Jul 2024

Irwan Syazmin berharap dia dan rakan sepasukannya dapat mencipta kejutan bertemu KDA FC pada Jumaat. — Facebook/MFL

PENYERANG pasukan Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Mohd Irwan Syazmin Wahab percaya pasukannya berada dalam motivasi terbaik dalam misi memburu kemenangan di Alor Setar, Kedah pada Jumaat.

Tambah penyerang berusia 29 tahun berkenaan, dia dan rakan-rakannya berusaha keras dalam sesi latihan dengan misi untuk mencipta kejutan dalam pertemuan menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Namun Irwan Syazmin mengakui tugas berat akan menanti mereka memandangkan pasukan tuan rumah kini berada dalam momentum terbaik selepas layak ke separuh akhir Piala FA minggu lalu.

BACA LAGI: 'Sifu' Nafuzi Zain optimis, Milos Gordic jadi aset penting Kedah kutip 3 mata lawan Kelantan

BACA LAGI: Siapalah Kedah, Penang & TFC musim ini tanpa kelibat 3 bintang pinjaman memukau

“Semua sedia maklum pasukan Kedah layak ke Piala FA tempoh hari dan sudah pasti mereka dalam prestasi yang sangat baik.”

“Namun tidak dapat dinafikan, kami juga bersemangat untuk memburu kemenangan kedua selepas berjaya menewaskan PDRM FC,” jelasnya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Skuad Kijang Hijau meraih kemenangan sulung 1-0 ke atas pasukan Sang Saka Biru pada pertengahan Jun lepas di Stadium Sultan Muhammad dekat Kota Bharu, Kelantan menerusi Oday Ali Kharoub yang menjadi penyelamat melalui sepakan penalti pada minit 28.

IRWAN IRWAN

Irwan Syazmin diturunkan dalam dua aksi Liga Super bersama KDN FC. — Facebook/MFL

Irwan Syazmin berkata, beberapa keputusan yang tidak memberangsangkan pada permulaan musim akan cuba diperbaiki lebih-lebih lagi pada musim ini semua tumpuan penyokong Kelantan sudah terarah kepada KDN FC.

“Saya yakin kami dapat menguruskan tekanan ini dengan baik walaupun pada permulaan musim kami bermula agak goyak, namun dan rakan-rakan akan cuba memberikan yang terbaik selepas ini," jelasnya.

Sebelum ini, media melaporkan pemberian bonus bakal menanti pemain KDN FC jika mereka berjaya menewaskan KDA FC pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman.

Perkembangan itu didedahkan oleh penolong pengurus KDN FC, Datuk Mohd Rowi Dollah yang memberitahu, habuan itu dijadikan suntikan semangat tambahan buat pasukan untuk berjuang sebaik mungkin bagi merebut kemenangan dalam setiap perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram