Tidak seperti Daniel Ting dan 2 bintang KL, Syafiq Ahmad sekadar duduk 'bench' jumpa JDT


  • Podium
  • Khamis, 18 Jul 2024

Syafiq menjaringkan gol luar biasa ketika membantu Kedah menewaskan KDN FC pada Jumaat lalu. — Facebook/KDAFC

PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA), Syafiq Ahmad sah tidak akan diturunkan beraksi dalam perlawanan menentang kelab majikannya, Johor Darul Ta'zim (JDT) pada saingan separuh akhir pertama Piala FA pada Jumaat ini.

Teka-teki mengenai status Syafiq sebelum ini menimbulkan persoalan dalam kalangan penyokong susulan sebelum ini kebanyakan pemain pinjaman JDT tidak dibenarkan beraksi menentang Harimau Selatan atas faktor tertentu.

Status mengenai penyerang berusia 29 tahun itu akhirnya terjawab apabila media sosial rasmi Kedah memaklumkan bahawa walaupun tidak beraksi di Darul Aman namun Syafiq akan kekal memberi sokongan penuh kepada Sang Kenari.

BACA LAGI: Nama 2F jadi pilihan, penyokong Kedah reda Syafiq Ahmad tak dapat turun lawan JDT

BACA LAGI: 'Sifu' Nafuzi Zain optimis, Milos Gordic jadi aset penting Kedah kutip 3 mata lawan Kelantan

"Menghormati perjanjian pinjaman pemain penyerang prolifik dari JDT ini, antaranya terma untuk tidak beraksi menentang kelabnya sendiri. Tiada persoalan dan persetujuan pinjaman telah membuka banyak ruang dimensi dari mutu permainan, kepercayaan peminat dan harapan semua kepada pasukan Sang Kenari.

"Adalah harapan KDA FC agar semua pihak dapat melihat secara positif dan menyemat nama Syafiq Ahmad sebenarnya adalah rakan sepasukan yang berada di dalam padang dan anda pemain ke-12 di luar padang.

"Dengan rekod jualan cukup tinggi sehari sebelum perlawanan, pasti tersemat semangat Syafiq Ahmad di jiwa penyokong dan ayuh zahirkan sokongan anda buat Sang Kenari malam esok (Jumaat) dengan kehadiran 25,000 penyokong hijau kuning," memetik kenyataan Kedah pada Khamis.

Keputusan tersebut jelas mengecewakan penyokong lagi-lagi pemain kelahiran Bayan Lepas, Pulau Pinang itu merupakan tulang belakang Kedah di bahagian serangan setakat beberapa perlawanan musim ini.

Dalam lima perlawanan Liga Super musim ini, pemain pinjaman Harimau Selatan itu telah menjaringkan dua gol buat Sang Kenari dan salah satunya ketika Kedah menang 3-0 ke atas Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada Jumaat lepas.

Ketika aksi menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC), Syafiq menjaringkan satu gol cantik apabila memilih untuk merembat bola di luar kotak penalti Kijang Emas selepas menerima hantaran daripada rakan sepasukan.

Situasi dilalui Syafiq berbeza dengan bintang pinjaman JDT lain seperti Declan Lambert dan Ryan Lambert yang dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC diberi lampu hijau bertemu Harimau Selatan dalam aksi Liga Super pada Mei lalu.

Manakala, bek kiri mereka iaitu Daniel Ting, yang kini bersama Sabah FC pula masih diturunkan bertemu Harimau Selatan dalam perlawanan Liga Super pada Sabtu lepas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram