Bukan setakat Sony Norde, FAM pernah denda Faisal, TMJ, coach Kelantan akibat terlanjur kata


  • Podium
  • Selasa, 23 Jul 2024

Masa depan Sony Norde berada dalam kebimbangan selepas pemain itu membuat kritikan terhadap mutu pengadilan. — Facebook/KDA FC

PENYERANG sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sony Norde dikhuatiri berdepan hukuman selepas ini berikutan komen yang dibuat selepas aksi Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Dalam sidang media pasca perlawanan, pemain berkenaan menyifatkan mutu pengadilan memalukan sehingga menjadi punca kekalahan skuad Sang Kenari di Stadium Darul Aman, Kedah.

Kritikan tersebut dibuat terhadap Nazmi Nasarudin yang enggan memberikan sepakan penalti atas kesalahan Shahrul Saad menampan bola dalam kotak penalti pada penghujung permainan.

BACA LAGI: Ada kemungkinan Sony didenda, kena gantung akibat kritik pengadil

BACA LAGI: Haziq Nadzli padam impian Sony Norde jadi hero Sang Kenari

452217871_522229196824929_3464529827746955251_n

Insiden yang menjadi topik perbualan hangat antara skuad Harimau Selatan dan Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Bagaimanapun, selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) dibuat, pengadil mengambil keputusan untuk tidak memberikan sepakan atas alasan pemain KDA FC, Fayadh Zulkifli Amin menolak bek JDT itu.

Jadi, dengan kritikan sudah dibuat, Sony Norde perlu bersedia sekiranya sebarang bentuk hukuman diberikan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadapnya.

Ini kerana kedua-dua badan pengurusan itu sering bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang terbuka membuat kritikan terhadap apa-apa isu, termasuk bidang pengadilan.

Berdasarkan rekod lampau, terdapat tiga individu berpengaruh dalam dunia bola sepak dikenakan hukuman berikutan komen yang dibuat secara terbuka.

1. Tunku Ismail Idris

Pada awal penglibatan dalam dunia bola sepak tanah air, Tunku Ismail Idris sering berdepan cabaran dalam misi membangun JDT sebagai sebuah empayar.

Jadi, dalam meluahkan rasa kurang senang itu, dia sering membuat kritikan secara terbuka meskipun tahu bahawa dirinya berdepan tindakan daripada pihak berkuasa.

Salah satu contoh terbaik yang menyaksikannya berdepan nasib sedemikian adalah pada Mac 2013 selepas FAM mengenakan denda RM18,000 terhadapnya.

122060454_1842736519222972_1460429815035592789_o

Tunku Ismail tidak terkecuali daripada hukuman FAM. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Tidak cukup dengan itu, pemilik skuad Harimau Selatan berkenaan turut digantung selama enam bulan daripada terlibat dalam aktiviti bola sepak.

Bagaimanapun, hukuman sedemikian tidak mematahkan semangatnya untuk terus membangunkan skuad Harimau Selatan sehingga dikenali pada hari ini.

Malah, impak sumbangan Tunku Ismail turut menyaksikan kemajuan progresif terhadap arena bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi selepas memikul tanggungjawab sebagai Presiden FAM tujuh tahun lalu.

2. Faisal Halim

Nama Faisal Halim tidak perlu lagi diperkenalkan, terutamanya selepas pemain sayap itu mengalami serangan asid kira-kira dua bulan lalu.

Tetapi, bagi peminat bola sepak tempatan, nama penyerang Selangor FC berkenaan sudah disebut-sebut sepanjang tahun lalu selepas FAM bertindak menggantungnya untuk sebulan.

Hukuman berkenaan dibuat selepas pemain berkenaan membuat kenyataan bahawa terdapat pihak yang mahu menjatuhkan skuad Gergasi Merah berikutan kekalahan kepada Sabah FC dalam Liga Super.

2658667

Faisal Halim merupakan seorang figura bola sepak yang pernah didenda. Facebook/Selangor FC

Luahan itu dianggap FAM sebagai satu kritikan terbuka terhadap mutu pengadilan yang kemudian menyaksikan hukuman cukup berat dikenakan ke atasnya.

Pada awalnya, Faisal digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama empat bulan, namun hanya berdepan menjalani tempoh sebulan daripadanya.

Baki daripada tempoh tersebut diputuskan bakal dikenakan sekiranya tonggak Harimau Malaya itu berkelakuan baik untuk tempoh setahun sebelum sebarang keputusan diberikan.

Namun, dengan pemain tersebut tidak lagi beraksi selepas disimbah asid, kemungkinan besar FAM tidak akan menggantungnya bagi baki tiga bulan daripada tempoh dikenakan.

3. Rezal Zambery Yahya

Ketika Kelantan FC berada dalam usaha bangkit semula kira-kira tiga tahun lalu, kepercayaan diberikan kepada Rezal Zambery Yahya untuk mengemudi pasukan.

Meskipun masih mentah dalam bidang kejurulatihan, hubungannya yang baik dengan pihak pengurusan menyaksikan bekas pemain ATM FA itu dilantik semasa mereka berada dalam Liga Perdana.

Namun, sepanjang memikul tanggungjawab berkenaan, jurulatih kelahiran Johor tersebut pernah berdepan hukuman selepas membuat kritikan terhadap mutu pengadilan.

EA8F57C8-98D3-4EEA-8D3D-F414CC2D1C0B

Kenyataan dibuat Rezal terhadap FAM pernah mengundang padah. Facebook/TRW Kelantan FC

Berdasarkan penilaian, Rezal didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 dan Artikel 82 Statut FAM atas tindakan membuat komen berhubung badan induk bola sepak negara itu.

Dia kemudiannya dikenakan denda RM10,000 selain perlu menjalani penggantungan selama sebulan meskipun tempoh awal yang diberikan kepada adalah selama dua bulan.

Kini, Rezal masih terlibat aktif dalam dunia bola sepak di Kelantan sebagai pembantu jurulatih Kelantan Darul Naim (KDN) FC sejak awal musim. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram