Komen negatif dan Intan Serah jadi motivasi, bek kiri Tigress ada cara sendiri cipta nama


  • Podium
  • Ahad, 08 Okt 2023

Eva ketika menyarung jersi UPNM bagi saingan Liga Super Wanita Selangor. — Instagram/Eva

MESKIPUN penyertaan bola sepak dalam kalangan wanita sudah semakin meluas namun hakikatnya penerimaan orang ramai ataupun penyokong domestik terhadap kaum Hawa yang bermain dalam sukan tersebut masih berada pada mentaliti kelas ketiga.

Mana tidaknya, sehingga kini masih ada komen-komen yang berbaur seksis dan kurang menyenangkan dilempar terhadap pemain wanita dalam negara setiap kali kejohanan berlangsung sama ada saingan liga domestik ataupun tugasan bersama pasukan kebangsaan.

Pasti ada pemain bola sepak wanita sukar menerima persepsi negatif tersebut namun tidak bagi pertahanan kental skuad Malayan Tigress, Eva Olivianie Antinus yang menterjemahkannya sebagai motivasi.

Daripada memikirkan komen negatif itu Eva sebaliknya menganggap bahawa ia adalah sebagai alat untuk menambahbaik dirinya sebagai seorang pemain bola sepak profesional.

photo1693379767-2

Eva antara bek kiri yang sering menjadi pilihan pengendali skuad kebangsaan. — Facebook/FAM

“Saya abaikan komen-komen negatif tersebut kerana mereka (penyokong) tidak tahu situasi sebenar. Mereka hanya tahu komen saya.

“Mereka ada hak nak cakap apa sahaja tapi kita boleh buat pilihan sama ada nak melayan ataupun tidak komen itu. Jurulatih (Soleen Al-Zoubi) kami selalu cakap komen negatif biarkan saja, yang baik letakkan sebagai motivasi dan terus baiki diri.

“Mengenai bila ada orang cakap mengenai pemakaian kami, benda itu jadi pelik sebab kami tidak buat apa-apa, hanya bersukan,” katanya kepada Majoriti ketika mengulas mengenai komen berbaur seksis.

Maklum balas negatif tersebut banyak timbul ketika bekas pelajar Sekolah Sukan Sabah itu mewakili pasukan Malaysia ke kejohanan Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Kemboja pada Mei lalu.

Untuk rekod, anak-anak buah Al-Zoubi menutup kempen Sukan SEA 2023 tanpa sebarang mata selepas kalah 0-3 kepada Vietnam dan 0-1 di tangan Filipina dan dibelasah 5-1 oleh Myanmar dalam aksi terakhir peringkat kumpulan.

photo1693379767

Perjuangan skuad Malayan Tigress berakhir di peringkat kumpulan ketika Sukan SEA 2023. — Facebook/FAM

Enggan memikirkan mengenai persepsi tersebut, bek kanan berusia 22 tahun itu kini hanya mahu fokus pada kariernya sebagai pemain bola sepak dan mahu pergi ke tahap tertinggi.

Menjadikan dua rakan sepasukan di Malayan Tigress iaitu Intan Sarah Anisah Zulgafli dan penjaga gol kebangsaan, Nurul Azurin Mazlan sebagai motivasi untuk terbang tinggi, Eva kini perlahan-lahan cuba untuk mencipta nama di peringkat domestik.

Intan Sarah sebelum ini mencipta sensasi di bumi Amerika Syarikat apabila muncul pemain wanita pertama negara beraksi dalam saingan liga negara itu bersama New York Athletic Club (NYAC), manakala Azurin pula berkelana di India dengan menyertai Misaka United FC.

“Saya jadikan yang pergi luar negara sabagai satu motivasi. Mereka layak sebab memang berbakat, sentiasa berusaha dan very good in leadership. Tapi saya pun tengah working on my things.

“Setakat ini saya komited untuk bola sepak tapi sambil tu kena pentingkan pendidikan. Sekarang saya masih struggle untuk dapatkan good performance. Dengan posisi saya pun banyak juga persaingan.

“Setakat ini Eva tak buat kajian pasal kelab luar negara kerana saya pun masih bergelut dengan persembahan saya. Jika saya belum bagus, saya tidak nak ke luar negara. Macam mana saya nak menyerlah di sana, jika di sini saya tak bagus lagi,” tambahnya.

EVA INTAN

Eva bersama Intan Sarah ketika sesi latihan Malayan Tigress. — Facebook/FAM

Bercakap mengenai prestasi di peringkat domestik, bekas pemain bekas pemain Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) FC itu kini sedang beraksi untuk pasukan wanita Malaysia University Football Team (MUFT-W) bagi kejohanan saingan Liga Wanita Nasional (LWN) 2023.

Pemain kelahiran Tambunan, Sabah itu positif bahawa meskipun pasukannya kini tidak mempunyai penyudah yang sempurna namun optimis mereka mampu mencapai sasaran mereka iaitu menghuni kelompok tiga teratas dalam LWN 2023.

“Sekarang Eva nampak kami tengah struggle dalam finishing kerana pertahanan dalam keadaan yang baik. Nampak result pun paling bawah. Kami cuba cover. Target saya untuk kekal top 3 bagi saingan LWN.

“Pesaing terdekat untuk MUFT adalah Sabah sebab mereka dan buat latihan sejak tahun lepas iaitu selepas kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) musim lepas,” tambah pelajar UPNM itu.

photo1693379784

Eva dan rakan sepasukan MUFT-W. — Instagram/Eva

Dalam pada itu, Eva juga sempat berkongsi bagaimana dia menguruskan jadual padat sebagai pemain bola sepak dan pada yang sama masih bergelar sebagai seorang pelajar pendidikan tinggi.

Menurutnya, dia mempunyai rutin tersendiri dan mempunyai perancangan mingguan untuk memudahkan Eva untuk menyusun hari sibuknya yang mana sarat dengan latihan dan pelajaran. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram