Liga Malaysia ada risiko sangat tinggi digantung AFC — Penganalisis


  • Podium
  • Rabu, 24 Jul 2024

KL City mengalami tunggakan sebanyak RM24 juta. — MFL

BOLA sepak Malaysia berdepan bahaya apabila pihak Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) membuka siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ia terjadi disebabkan faktor kelab-kelab mengalami tunggakan gaji tetapi lesen masih diberikan kepada mereka oleh badan induk bola sepak di negara kita.

Persoalannya mengapa ia masih diberikan sedangkan masih lagi ada masalah yang dihadapi?

BACA LAGI: [VIDEO] FAM, MFL berdepan risiko lesen liga dari AFC ditarik balik

BACA LAGI: KL bebas pemotongan mata bikin fans Hijau Kuning berang, tuntut layanan adil MFL

Menurut pemerhati bola sepak tempatan, Sadek Mustaffa, dia menganggap tindakan AFC itu adalah wajar demi mencari punca permasalahan dalam sukan utama negara.

"Ia adalah satu tindakan wajar untuk AFC menyiasat FAM dan MFL. Hal ini kerana, apabila sesebuah liga profesional diwujudkan, mereka ada tatacara yang perlu diikuti dan ditetapkan oleh AFC dan FIFA," kata Sadek kepada Majoriti.

Rentetan daripada siasatan tersebut, Sadek melihat risiko untuk bola sepak negara dihukum adalah besar kerana isu yang berlaku.

Hal ini kerana, hanya satu kelab saja yang dapat dikenal pasti, tetapi sebenarnya masih ada lagi yang bermasalah.

"Risiko untuk dihukum itu sangat tinggi. Hal ini kerana, masih ada banyak kelab yang bermasalah tetapi belum dapat dikenal pasti kesahihannya.

"Kalau sebelum ini, ada pemain import yang melaporkan terus hal gaji tertunggak kepada FIFA. Siapa yang cover balik gaji mereka? FAM yang perlu melakukannya untuk menyelesaikan isu gaji tertunggak.

"Jika hukuman ini terpaksa heret bola sepak kita kembali ke kancah semi-pro, kita kena terima hakikat," jelas Sadek.

Terdapat spekulasi mengatakan yang jika Liga Malaysia akan dihukum, slot Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC di Asia akan terjejas kerana itu.

Bagi Sadek, itu adalah kesan yang perlu terima selepas Liga Malaysia sendiri tidak menepati kriteria.

"Benar, JDT dan Selangor layak ke Asia secara merit menerusi pencapaian sebagai juara dan naib juara liga. Tapi masalahnya, liga kita sendiri yang bermasalah. Isu sebegini seharusnya diatasi sebaik mungkin.

"Jika AFC memilih untuk menggantung Liga Super, kita kena terima hakikat," komen Sadek. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram