Desakan ‘YCL Out’ lepas tewas 4 kali, Perak FC masih berdiri di belakang Yusri Che Lah


  • Podium
  • Rabu, 17 Jul 2024

Yusri (kanan) digesa oleh penyokong Perak FC untuk meletakkan jawatan selepas mengalami empat kekalahan dalam Liga Super.

DESAKAN penyokong Perak FC mahu pengendali semasa, Yusri Che Lah meletakkan jawatan serta-merta dilihat tidak kesampaian.

Ia selepas pihak pengurusan tertinggi Perak memberikan sokongan penuh kepada Yusri kerana rekod yang pernah dilakukannya pada musim lalu.

Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dalam satu kenyataan berkata, kemenangan ke atas Kedah Darul Aman FC (KDA FC) membuktikan The Bos Gaurus mempunyai kualiti tersendiri.

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Perak keluar stadium tak hirau pemain, mula laungkan ‘YCL Out’

BACA LAGI: Selain Kim Pan-gon, Pau Marti Vicente pernah berguru dengan 3 jurulatih berdarah FC Barcelona

"Kami ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi sokongan penuh kepada ketua jurulatih, Yusri Che Lah.

"Pihak pengurusan yakin dengan kemampuannya dan kita harus ingat Coach Yusri adalah individu yang berjaya membimbing pasukan ke separuh akhir Piala Malaysia 2023.

"Menewaskan Kedah sekali lagi musim ini membuktikan kita adalah pasukan yang boleh bersaing," katanya.

Tambahnya lagi, objektif utama Perak musim ini ialah untuk meletakkan The Bos Gaurus di kelompok pertengahan Liga Super.

"Pihak pengurusan Perak FC sentiasa bekerja tanpa jemu untuk menyediakan satu pasukan yang kompetitif dan menghiburkan peminat The Bos Gaurus.

"Kami sedar keputusan perlawanan masih tidak berpihak kepada kita yang sepatutnya melakukan jauh lebih baik.

"Perancangan awal tahun ini adalah kami meletakkan objektif menstabilkan kedudukan pasukan di kelompok pertengahan liga," jelasnya.

Sebelum ini, penyokong Perak mendesak agar Yusri meninggalkan pasukan selepas tewas dalam empat perlawanan Liga Super.

Ia juga diikuti dengan tersingkirnya Perak dalam Piala FA di pusingan ke-16 selepas tewas di tangan Terengganu FC dengan keputusan 1-2 pada 14 Jun lalu.

Kini, Perak menduduki tangga ke-11 Liga Super selepas merekodkan empat kekalahan dan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram