Yusri Che Lah cetus inspirasi untuk Perak FC bangkit, terus mara


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Selasa, 25 Jun 2024

Perak masih dianggap bermain baik walaupun kalah kepada Selangor. — Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Super musim 2024/25.

SEUSAI perlawanan dengan Kedah Darul Aman FC di Alor Setar pada 24 Mei – kemenangan tunggal Perak FC sejauh ini dengan keputusan 2-0 – ketua jurulatih, Yusri Che Lah, berkongsi kegusarannya menghadapi dua lawan berikut, Terengganu FC dan Selangor FC, yang digolongkannya sebagai gergasi bola sepak negara.

Menepati kegusarannya, The Bos Gaurus (TBG) kendaliannya ditunjukkan jalan keluar daripada saingan Piala FA seawal pusingan 16 pasukan terakhir dengan kekalahan 1-2 di Kuala Terengganu pada 14 Jun, disusuli kekalahan dengan keputusan serupa kepada The Red Giants di Petaling Jaya, Ahad lalu.

BACA LAGI: Bos Perak FC tarik diri kendali page penyokong, mahu fokus perniagaan dan kelab

BACA LAGI: Kad merah Alex timbulkan persoalan, tapi fans Perak lebih geram dengan Lee Tae-min

Apakah harga yang perlu dibayar untuk dua kekalahan berkenaan?

Daripada menjadi pujaan dalam kemenangan ke atas Kedah, pemain sayap, Lee Tae-min, menjadi sasaran cemuhan peminat gara-gara sikapnya yang didakwa tamak dalam kekalahan kepada Selangor itu. Bekas pemain skuad bawah 19 tahun (B-19) Korea Selatan itu dipersalahkan kerana kerap lewat membuat hantaran dan membuka peluang buat rakan sepasukan.

Malah, sudah ada yang menuntut penjaring dua gol Perak itu direhatkan dalam perlawanan berikut agar peluang dapat diberi kepada pemain muda tempatan, termasuk Nur Azfar Fikri Azhar, penjaring gol tunggal hujung minggu lalu.

448830329_480208004559580_6857303280180154238_n

Yusri Che Lah.

Cakap-cakap kurang enak dalam kalangan penyokong TBG terhadap prestasi pasukan turut menyalahkan 'bajet ciput' sebagai punca pasukan bergelut untuk bersaing.

Malah, kritikan tersebut turut menyasarkan serangan terhadap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak, Bobie Farid Shamsudin, yang terbaru mengumumkan menarik diri daripada menjadi pentadbir kepada akaun Facebook TBG Super Fan.

Yusri tidak terkecuali terkena tempiasnya dengan corak permainan longgar dalam separuh masa pertama menentang Selangor hingga membuka laluan kepada Ronnie Fernandez untuk dua golnya pada minit ke-24 dan 40 (penalti).

Daripada mengambil jalan mudah menyalahkan pemain-pemainnya, Yusri ternyata sporting dengan mengambil tanggungjawab di atas kekalahan kepada Selangor – sesuatu yang harus dihargai oleh penyokong Perak daripada menuding jari kepada mana-mana individu dalam pasukan.

448971268_480311367882577_3026968436712092405_n

Azfar menjaringkan gol tunggal Perak menentang Selangor. — Perak FC

Tular dengan naratif, “saya bukan bukan pengarah filem yang boleh membuat skrip atau mengatur jalan cerita bagi keputusan akhir perlawanan” dan “pemain Perak juga manusia biasa yang lakukan kesilapan,” jurulatih itu mempertahankan pemain-pemainnya yang tidak harus malu dengan kekalahan tipis kepada sebuah pasukan besar di laman mereka.

So far I am OK,” katanya sambil menambah, “kita melakukannya dalam setiap perlawanan dengan menjaringkan gol. Malangnya, kita sering memberikan gol kepada pihak lawan. Itu yang saya mengaku dan mengambil beban kesalahan ini dan janganlah hukum pemain saya terutamanya kerana mereka manusia biasa.

"Saya sayangkan pemain saya, itu yang paling utama. Mereka manusia, mereka melakukan kesilapan, sama juga dengan saya.

“Saya akan sentiasa bersama dengan pemain supaya lebih faham dengan situasi kerana VAR tidak selalu menidakkan perkara yang benar. Tapi kalau tak ada VAR mungkin tidak penalti (insiden Alvin Fortes dibentes Tommy Mawat yang awalnya tidak dipersalahkan pengadil).”

Pada Yusri, kekalahan kepada Selangor di sebalik tuan rumah itu memiliki kelebihan di hadapan penyokong sendiri, tetap menghadirkan pengajaran yang boleh dimanfaatkan dalam cabaran seterusnya.

Satu atau dua kekalahan baginya bukan bermakna berakhir segala peluang untuk bangkit selagi pemain-pemainnya terus bersemangat dan memiliki kemahuan besar untuk menebusnya.

“Apa yang saya nak katakan pemain Perak harus bertahan secara sepasukan dengan lebih baik. Kadang-kadang kesilapan kecil yang sentiasa membuatkan kita berada di belakang dan sentiasa mengejar pasukan lawan.

“Walaupun tewas, kami tidak harus berasa malu kerana separuh masa kedua adalah dalam tangan kami sebenarnya walaupun kita beraksi di Stadium MBPJ,” katanya.

449031077_480310774549303_8571936311927820062_n

Lee Tae-min (kiri) menerima kecaman hebat penyokong Perak. — Perak FC

Yusri juga menuntut agar pemain-pemainnya lebih menghargai peluang dalam perlawanan-perlawanan besar yang mungkin tidak banyak diperoleh.

“Kita perlu melihat dari segi bertahan. Empat atau lima perlawanan yang kita lawan ini semuanya adalah calon-calon heavyweight. Kalau orang kata PDRM tidak bagus, saya rasa mereka telah mulakan satu peningkatan yang amat baik dari musim lalu.

“Jadi, lima perlawanan yang kami lalui adalah semua team heavyweight, pencabar untuk bersaing dengan pasukan lebih kuat, Selangor dan Terengganu dan Kedah juga.

“Kita kena guna peluang seandainya bertemu dengan pasukan-pasukan kuat. Jika hilang fokus, kita akan dihukum,” tambahnya.

Sedikit sagu hati buat skuad TBG ialah hakikat bahawa mereka telah menjaringkan tujuh gol dalam lima perlawanan, termasuk satu aksi Piala FA hingga mengundang pujian ketua jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil.

“Dia (Perak) menjaringkan gol dengan Terengganu, dia menjaringkan gol dengan Kedah di gelanggang lawan. Kita sepatutnya lebih menghormati Perak,” katanya.

Memandang ke hadapan, jurulatih berusia 48 tahun itu mahu menggunakan sepenuhnya tempoh rehat tiga minggu sebelum melakukan perhitungan dengan Penang FC di Ipoh pada 13 Julai untuk kembali ke landasan kemenangan.

“Kita akan cuba persembahkan permainan terbaik dengan Penang. Kita tengok Penang pun agak baik persembahan mereka (ketika tewas 0-1 kepada Kedah, Sabtu lalu).

“Mereka juga tidak banyak dibolosi, saya rasa baru dua gol dalam empat perlawanan. Itu menunjukkan corak bertahan mereka baik, kita harus berhati-hati.

“Kita perlu memberikan corak permainan lebih memberangsangkan dan lebih meyakinkan para penyokong untuk terus menyokong kami,” kata Yusri lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram