KONFEDERASI Bola Sepak Asia (AFC) sudah membuka kertas siasatan terhadap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), lapor Stadium Astro.
Perkara itu disahkan oleh Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John, kepada pemerhati sukan tanah air, Fina Nasrom.
Seandainya pelanggaran syarat pelesenan kelab berlaku, FAM dan MFL berdepan risiko lesen liga dari AFC ditarik balik dan akan membawa kepada tiada wakil Malaysia layak beraksi di pentas Asia.
BACA LAGI: Lupakan Ivan Mamut, tiba masa Pahang, Penang, KL City percayakan 'striker' lokal
BACA LAGI: Belum semusim dipasang, VAR dah buat Kedah, Perak, Sabah berputih mata
Isu gaji dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) sudah mula mendapat perhatian AFC dan Jabatan Pelesenan Kelab AFC kali ini membuka kertas siasatan drastik dengan tujuan untuk melakukan penilaian semula apabila terdapat beberapa kelab yang tidak menepati syarat pelesenan kelab masih diberikan peluang untuk mendapatkan pelesenan kelab.
Dua tahun lalu, Persatuan Bola Sepak Iran pernah digantung daripada mendapatkan lesen dan kesannya, tiada wakil negara itu dapat beraksi di pentas Asia.
Kekeliruan mula timbul apabila pasukan Kuala Lumpur City FC mendapat pelesenan kelab bagi musim 2024/25, pada ketika mereka dilaporkan masih memiliki tunggakan bayaran KWSP sejak Februari 2023.
"Fail siasatan sudah pun dibuka dan langkah seterusnya, kami akan menghubungi MFL dan FAM untuk memulakan perbincangan bersama Jabatan Pelesenan Kelab yang akan memantau dan melihat proses pemberian lesen.
"Selepas maklumat itu dikumpul, kami akan membuat keputusan melalui jawatankuasa yang kami ada," katanya.
KL City FC mendapat pelesenan kelab bagi musim 2024/25, pada ketika ia dilaporkan masih memiliki tunggakan KWSP sejak Februari 2023. — Gambar hiasan
Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Windsor berkata, kesan yang paling berat ialah tiada wakil yang boleh kami terima kerana kuasa mereka (FAM dan MFL) untuk memberikan lesen ditarik balik oleh kami memandangkan terdapat masalah dalam proses pemberian lesen.
"Kalau langgar kena hukum, kerana kami memiliki ketetapan. Tak kan satu negara kena dan satu negara tak kena. Hukumannya akan tetap ada.
"Jadi, kami perlu melihat dahulu sama ada mereka ada melanggar peraturan atau tidak," katanya.
Dalam pada itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya bersama MFL sedia memberikan kerjasama penuh kepada hasrat yang telah disuarakan AFC itu.
"Saya mengalu-alukan apa jua tindakan AFC kerana saya fikir tindakan itu dibuat bagi memastikan liga kita berjalan dengan baik.
"Untuk perkara ini, saya hanya boleh katakan kami (FAM) bersikap terbuka kerana bagi saya, ia untuk melihat jika liga kita ini ada kecacatan atau kelemahan dan tentu sekali ia boleh memperbaiki keadaan yang ada," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram