[VIDEO] Baru nak kecewa bola tak masuk, 'blunder' penjaga gol ubati hati pemain lawan hampir terlepas peluang


  • Podium
  • Selasa, 23 Jul 2024

Para pemain Tampines Rovers meraikan jaringan mereka bertemu Lion City Sailors. — Facebook/BG Tampines Rovers

BUKAN mudah untuk menjadi seorang penjaga gol yang berkualiti. Ketika latihan, mereka akan berlatih bermati-matian untuk memastikan pada hari perlawanan, tiada satu bola menerjah jaring yang dijaga.

Tetapi, sama seperti pemain lain, ada harinya mereka akan berdepan waktu sukar. Ada waktu mereka akan beraksi ibarat penjaga gol terbaik dunia, satu ketika kesilapan mudah akan terhasil pula.

Itulah yang berlaku di Singapura apabila salah seorang penjaga gol dalam saingan utama negara tersebut melakukan kesilapan mudah.

BACA LAGI: Selangor rugi jika biar 2 kelab Pantai Timur sambar penyerang muda berbisa dari Jepun

BACA LAGI: Hariss Harun kembali ke SSI, kali ini pegang watak 'antagonis'

Dalam aksi Liga Perdana Singapura (S-League) antara Lion City Sailors (LCS) dengan BG Tampines Rovers pada Khamis, penjaga gol LCS iaitu Zharfan Rohaizad melakukan kesilapan ketika aksi penting itu.

Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Bishan melibatkan dua pasukan teratas dalam carta S-League menyaksikan Zharfan melakukan kesilapan yang cukup besar hinggakan menyebabkan momentum kelabnya berubah.

Ketika masa tambahan separuh masa pertama, LCS yang sedang ketinggalan 0-1 diserang oleh Tampines menerusi Seia Kunori dari sebelah kiri.

Kunori kemudiannya melakukan hantaran lintang rendah untuk mencari Glenn Kweh yang menanti dalam kotak penalti. Namun begitu, hantaran pemain Jepun itu kemudiannya ditangkap oleh Zharfan.

Kweh yang kecewa kemudiannya menutup kepalanya dengan tangan. Saat dia sedang melayan kecewa, Zharfan tiba-tiba saja terlepas bola dari genggaman.

Ia kemudiannya jatuh betul-betul di kaki Kweh lalu dia menolak mudah bola itu dan meraikan jaringan kedua Tampines sebelum rehat separuh masa.

Gol itu nyata merentap semangat LCS yang kemudiannya memboloskan tiga lagi gol sebelum tumbang 0-5 di laman sendiri. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram