‘Jurulatih datang dan pergi’, Hamidin terkilan Pan-gon letak jawatan


  • Podium
  • Khamis, 18 Jul 2024

Hamidin (kanan) kecewa dengan perletakan jawatan Pan-gon (kiri). — FAM

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui kecewa dengan perletakan jawatan Kim Pan-gon sebagai jurulatih skuad kebangsaan.

Menurut Hamidin, Pan-gon berkata kepadanya yang dia sedia untuk komited dengan kontraknya yang sepatutnya tamat pada 2025 tetapi memilih untuk menamatkannya lebih awal.

Sungguhpun kecewa, Hamidin berkata ia adalah lumrah untuk menyaksikan jurulatih datang dan pergi.

BACA LAGI: Kim Pan-gon tak pernah rasa tidak selamat di Malaysia, salah faham 'danger' sebab Bahasa Inggeris kurang baik

BACA LAGI: Boleh jadi Solari, tapi coach Kedah, Sabah ada kualiti isi tempat ditinggalkan Kim Pan-gon

"Ia mengejutkan kerana Pan-gon, yang mengambil alih skuad kebangsaan pada 2022 sebelum ini menyatakan komitmen untuk bersama Harimau Malaya sehingga kontraknya tamat pada 2025.

"Tetapi, jurulatih datang dan pergi. Kita perlu menerimanya. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Pan-gon kerana dalam tempoh dua tahun setengah ini, ranking skuad kebangsaan meningkat dan Malaysia layak ke Piala Asia secara merit selepas 42 tahun. Sumbangan besarnya tidak akan dilupakan," kata Hamidin menerusi siaran FAM di Facebook.

Hamidin yang kini berada di luar negara kerana tugasan sebagai Chief de Mission Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 mengharapkan sokongan padu penyokong Malaysia akan diberikan kepada jurulatih sementara iaitu Pau Marti.

Marti akan meneruskan legasi Pan-gon buat sementara waktu sebelum pengendali baharu dilantik. Jurulatih dari Sepanyol itu akan mengendalikan cabaran negara dalam Pestabola Merdeka pada September dan Piala Asean hujung tahun ini.

"Jadinya, walaupun Harimau Malaya tanpa Pan-gon, saya harap rakyat Malaysia akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Pau Marti yang akan memulakan tugas bermula dengan Pestabola Merdeka pada September," ujar Hamidin. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram