Garang sumbat 16 gol, tak mustahil Malaysia boleh bedal Thailand


  • Podium
  • Selasa, 23 Jul 2024

Malaysia mempamer persembahan cemerlang pada dua aksi awal Piala Asean B-19 di Indonesia. — FAM

SKUAD Bawah 19 tahun (B-19) Malaysia tampil garang dalam saingan Piala Asean B-19 di Surabaya, Indonesia apabila dengan mudah menempah tempat ke pusingan seterusnya.

Juara bertahan itu menunjukkan taring apabila membelasah Brunei 11-0 pada aksi pertama peringkat kumpulan C sebelum menundukkan musuh tradisi, Singapura 5-0 pada perlawanan kedua Isnin lalu.

Ini menjadikan skuad kendalian Juan Torres Garrido itu menghasilkan 16 gol tanpa balas daripada dua perlawanan.

BACA LAGI: Bintang Selangor jadi wakil tunggal skuad senior ketuai cabaran Malaysia pertahan Piala Asean B-19

BACA LAGI: Piala AFF B-19: Mudah ratah Brunei, Harimau Muda diingat tak gembira terlalu awal

Melihat kepada persembahan baik ditonjolkan oleh pasukan muda negara, timbul harapan ingin melihat Malaysia benar-benar bangkit apabila ujian sebenar muncul.

Ujian tersebut adalah pada aksi terakhir kumpulan bertemu satu lagi musuh tradisi iaitu Thailand.

Thailand juga apa kurangnya, mereka menewaskan Singapura 2-1 sebelum membelasah Brunei 6-0 pada aksi kedua.

Menuju ke perlawanan ketiga, Malaysia dilihat mempunyai kelebihan ke atas Thailand dengan keputusan seri antara kedua-dua negara sudah cukup untuk menjadikan skuad negara juara kumpulan.

452236251_1190604418679459_3652057971623902816_n

Malaysia mempamer persembahan berkualiti berdepan Singapura. — FAM

Maka, tidak hairan jika ramai yang berpendapat Malaysia mempunyai peluang cerah untuk menewaskan Thailand.

"Kalau seri masih kekal di tempat teratas, tapi jika menang, Malaysia akan memenangi kumpulan C. Apa pun, tewaskan saja Thailand, ia akan buatkan kami rasa lebih baik dan gembira," kata penyokong bernama Bunian Awku Zainal.

"Tengok prestasi semasa, tak mustahil skuad negara boleh jadi juara kumpulan. Semoga berjaya," ujar Hasridzuan Hassan pula.

"Thailand (adalah) lawan sebenar, harap pemain dah bersedia untuk gempur skuad Gajah Perang. Malaysia!," komen Azizul Hakim.

Malaysia perlu memastikan mereka berjaya mara dengan status sebagai juara kumpulan untuk menjamin tempat ke separuh akhir.

Sekiranya kalah kepada Thailand, Malaysia perlu mengharap dapat mara sebagai dua pasukan naib juara kumpulan terbaik untuk ke pusingan seterusnya.

Jika menjadi juara kumpulan, Malaysia dijangka berdepan pemenangan kumpulan A iaitu Indonesia.

Sekiranya menjadi naib juara kumpulan, Malaysia akan berdepan Australia yang merupakan pemenang kumpulan B. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram