'Jangan guna 'kad melayu' elak disaman,' pencipta logo Elephant Army saran ambil tindakan tegas


  • Podium
  • Selasa, 23 Jul 2024

Jersi edisi Pahang keluaran Kieda Crepe yang menjadi kontroversi kerana melanggar hak milik Elephant Army.

MEDIA sosial peminat bola sepak dihangatkan dengan kontroversi apabila seorang usahawan terkenal Khalieda Yusra atau Kieda Crepe didapati melakukan ciplak hak cipta terhadap salah sebuah logo pergerakan ultras di Malaysia.

Baru-baru ini, Kieda bersama-sama suaminya, Hilmi Zaki melancarkan jualan jersi bertemakan negeri-negeri di Malaysia. Tanpa disedari mereka, jersi bertemakan Pahang diselitkan sekali dengan logo pergerakan ultras Sri Pahang FC iaitu Elephant Army (EA).

Ia menimbulkan kontroversi dengan terdapat desakan supaya tindakan diambil terhadap pasangan suami isteri itu kerana melanggar undang-undang hak cipta kerana logo EA tersebut didaftar sebagai harta intelek gerakan ultras tersebut.

BACA LAGI: Sri Pahang memang ada masalah gaji, pihak pengurusan sedang usaha sehabis baik — Sumber

BACA LAGI: Dilepaskan gergasi Korea, Sri Pahang, Perak boleh cuba bawa 'tanker' Iraq kuatkan pertahanan

Menyedari kesilapan tersebut, mereka kemudiannya memohon maaf dan memanggil semula jersi tersebut yang sudah 150 helai terjual. Jersi yang dipanggil semula itu kemudiannya akan diganti dengan baharu berserta rekaan ditambah baik.

Walaupun sudah meminta maaf dan menarik semula jualan, namun begitu masih terdapat saranan untuk EA sebagai pemilik logo tersebut mengambil tindakan undang-undang terhadap pasangan tersebut.

Menurut pencipta logo EA yang tidak mahu dikenali identitinya, tindakan tersebut adalah bertujuan untuk memberikan pengajaran kepada semua supaya lebih berhati-hati supaya tidak melanggar harta intelek sesiapa.

Malah, Kieda dalam komennya turut menggunakan sentimen "Melayu jatuhkan Melayu" untuk mengelak daripada disaman. Tindakannya itu bukan meredakan malah menambah bara kepada api akibat perbuatan ciplaknya.

"Bagi saya tindakan kurang bijak daripada seorang peniaga dianggap hebat dan berpengalaman. Lepas tu berani pula guna 'kad Melayu' untuk merayu supaya tak disaman. Kalau saya memang terus saman sebab logo tu memang sudah didaftar dengan MyIPO (Perbadanan Harta Intelek Malaysia)," kata individu tersebut kepada Majoriti.

452404475_8015962815155416_3995033222629955685_n

Kieda (kiri) dan Hilmi (kanan) memanggil semula 150 helai jersi edisi Pahang keluaran mereka yang sudah terjual. — Facebook/Khalieda Yusra

Sebagai rekod, sebelum permohonan maaf dikeluarkan, EA akan mengeluarkan kenyataan meminta agar logo mereka tidak disalahguna kerana sudah didaftarkan sebagai harta intelek. Malah, mereka juga meminta agar logo tersebut dihormati oleh semua pihak.

Majoriti sudah menghubungi pihak EA untuk mendapatkan maklum balas sama ada mereka hendak mengambil tindakan undang-undang atau tidak terhadap pasangan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram