KEPUTUSAN Kim Pan-gon untuk meletakkan jawatan sebagai jurulatih skuad kebangsaan nyata mengundang kecewa ramai penyokong Harimau Malaya.
Mana tidaknya, Malaysia kehilangan seorang jurulatih berkaliber dan banyak membantu pasukan meraih kemenangan sepanjang tempoh perkhidmatannya.
Dalam masa yang sama, kekecewaan penyokong turut ditujukan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.
Dengan pemergian Pan-gon, ia disusuli dengan pertanyaan penyokong, "Presiden tak nak letak jawatan juga?"
BACA LAGI: ‘Jurulatih datang dan pergi’, Hamidin terkilan Pan-gon letak jawatan
BACA LAGI: Sasaran Piala Asean: Bergantung JDT dan Selangor — Hamidin Mohd Amin
Populariti Hamidin (dua dari kiri) kelihatan semakin menurun dalam kalangan penyokong. — FAM
Adakah desakan untuk Hamidin berundur itu wajar? Bagi pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli, dia memahami kekecewaan penyokong untuk presiden itu meninggalkan jawatannya.
Pada hemat Pekan, desakan itu bukan kerana pemergian Pan-gon semata-mata, tetapi akibat beberapa insiden terutamanya berkaitan surat layang yang muncul sehari sebelum Kongres FAM ke-60 April lalu.
"Saya lihat semakin banyak desakan agar Hamidin berundur. Desakan oleh warga komuniti bola sepak ini semakin kuat selepas isu surat layang serta kegagalan skuad Harimau Malaya ke Piala Dunia 2026 dan tinggal nyawa-nyawa ikan untuk layak ke Piala Asia 2027.
"Peminat tidak meletakkan kegagalan ini kepada Pan-gon tetapi kepada FAM kerana gagal berfungsi membantu Pan-gon dalam menguruskan persiapan pasukan termasuk perlawanan kompetitif sebelum aksi sebenar.
"Isu perlawanan Piala Sumbangsih membabitkan Selangor hingga didenda dan menimbulkan kemurkaan Sultan Selangor dan kemudiannya dihangatkan lagi dengan peletakan jawatan Pan-gon secara tiba-tiba.
"Semuanya dikaitkan dengan pelbagai cerita panas yang masih lagi belum didedahkan dan menghantui perasaan ingin tahu warganet yang sangat kuat. Desakan ini bagi saya sangat-sangat wajar," kata Pekan kepada Majoriti.
Penyokong Malaysia pernah melancarkan gerakan 'Presiden FAM Sila Letak Jawatan' satu masa dahulu. — Agensi
Melihat kepada desakan tersebut, Hamidin mungkin boleh dianggap gentleman sekiranya berundur sebelum penggalnya tamat pada 2025.
Namun begitu, mempunyai jawatan di organisasi lain seperti Ahli Majlis Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) membuatkan perkara itu dilihat sukar dilakukan Hamidin.
"Kita tahu penyokong hanya mampu mendesak sahaja tetapi semuanya terpulang kepada Hamidin sendiri. Memang dia harus bersikap gentleman dalam isu ini.
"Memang dia harus bersikap gentleman dalam isu ini. Memandangkan dengan pelbagai 'perks' yang dia terima di FAM, AFC, FIFA dan lain-lain, bukan Hamidin sahaja, kalau orang lain pun tidak mungkin akan senang-senang melepaskan jawatan itu dan akan mempertahankannya hingga wisel penamat (tamat penggal).
"Kata putus akhir sekarang hanya bergantung kepada kesedaran dan keinsafan ahli gabungan yang benar-benar ikhlas dan tulus untuk menentukan nasib Presiden FAM pada pemilihan akan datang. Atau mendesak untuk mengadakan mesyuarat agung luar biasa FAM untuk membuat usul tergempar supaya Presiden mengosongkan jawatan, itu saja," ujar Pekan.
Melihat kepada situasi yang tidak enak menimpa bola sepak negara, Pekan berpendapat jika Hamidin enggan berundur, lebih baik tindakan seterusnya adalah bersikap popular dalam kalangan penyokong.
Dalam situasi semasa, apa saja dilakukannya akan hanya mengundang kecaman penyokong.
"Secara peribadi saya tidak nampak pilihan lain untuk beliau sekarang ini kecuali menuruti desakan penyokong. Apa pun yang dia cuba lakukan selepas ini saya percaya penyokong sudah tawar hati dan lebih banyak mengecamnya.
"Jadi, untuk baiki situasi dan kalaulah dia betul-betul sayangkan bola sepak negara ini lebih daripada jiwanya sendiri, kita tahu memang berat mata memandang tetapi berat lagi bahu yang memikul," jelas Pekan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram