Bukan setakat stadium atau kelab perlu berubah, penyokong juga mesti buang mentaliti curi 'seat'


  • Podium
  • Ahad, 21 Jul 2024

Ada penyokong Terengganu kecewa tidak dapat tempat duduk walaupun mempunyai tiket. — Terengganu FC

TIDAK dapat dinafikan yang semua stadium di Malaysia hanya akan penuh apabila perlawanan penting diadakan.

Sebagai contoh, bila aksi separuh akhir atau perlawanan akhir tiba, barulah stadium akan penuh dengan kehadiran penyokong hingga tiket habis dijual.

Melihat stadium penuh itu satu perkara baik untuk bola sepak negara, tapi dalam elok pasti ada busuknya.

Setiap kali tiba hari stadium penuh, penyokong yang datang akan berdepan situasi di mana tempat duduk mereka dicuri oleh orang lain.

BACA LAGI: Tiket ‘hangus’ kerana ‘seat’ dicuri, fans TFC kecewa kelab tak laksana sistem bernombor

BACA LAGI: Mungkin tak popular, tapi tindakan kelab naikkan harga tiket 'away' dianggap wajar

450120408_514193997628449_670658011645411111_n

Stadium lazimnya penuh apabila aksi separuh akhir tiba. — Kedah Darul Aman FC

Baru-baru ini, ada penyokong Terengganu FC yang menyatakan kekecewaan apabila terpaksa pulang semula ke rumah kerana tidak dapat tempat duduk sedangkan mereka mempunyai tiket yang sah untuk perlawanan separuh akhir Piala FA berdepan Selangor FC.

Situasi curi seat ini berlaku apabila jumlah tiket dijual melebihi kapasiti stadium atau penyokong menyelinap masuk melepasi pintu dek kerana penguatkuasaan lemah.

Malah, ada juga segelintir yang membawa anak kecil ke stadium tanpa membeli tiket kanak-kanak, kemudiannya meletakkan anak mereka di tempat duduk yang sepatutnya diduduki penyokong mempunyai tiket.

Situasi tersebut sebenarnya boleh diselesaikan apabila kelab dan perbadanan stadium bergabung mengadakan sistem tiket bernombor seperti di pawagam.

Dengan itu, penyokong membeli tiket mengikut tempat yang ingin diduduki mereka di stadium. Oleh itu, ia dapat membantu kelancaran serta menjadikan pengalaman menonton bola sepak di stadium lebih baik.

Hanya separuh daripada usaha

Namun begitu, ia adalah separuh daripada usaha. Selain kelab dan stadium, penyokong juga perlu mengubah mentaliti apabila ke stadium.

Jika stadium sudah ada sistem tiket bernombor, penyokong haruslah duduk pada kerusi yang mereka pilih. Bukannya, duduk ikut suka saja seperti sebelum ini.

Ia sama seperti kita menonton wayang di pawagam atau menaiki kenderaan awam seperti bas ekspres atau kapal terbang. Jika kita boleh patuh dan duduk pada tempat duduk yang ditetapkan di pawagam atau pengangkutan awam, kenapa tidak dekat stadium?

Sistem itu diwujudkan untuk dipatuhi dan melancarkan satu-satu proses. Apabila ia tidak dipatuhi, pasti akan membuatkan suasana caca merba berlaku di stadium.

Ingat, pengurusan dan kelab perlu berubah, penyokong juga perlu turut serta. Jika tidak, bola sepak kita akan terus mundur dan ketinggalan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram