'Pernah tewaskan Harimau Malaya tak cukup, banyak perkara perlu dipelajari jika Segrt sertai skuad kebangsaan'


  • Podium
  • Selasa, 23 Jul 2024

Segrt memiliki personaliti dan pengalaman yang membuatkannya calon hangat untuk menggantikan Pan-gon. — Agensi

PERSOALAN mengenai pengganti Kim Pan-gon dalam skuad kebangsaan masih belum terjawab sehingga kini meskipun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah mengumumkan Pau Marti Vicente sebagai jurulatih interim.

Meskipun Pau Marti sudah tahu selok belok Harimau Malaya, seseorang lebih berkaliber dan berpengalaman pasti dimahukan penyokong bagi mengemudi pasukan negara.

Antara nama yang disebut-sebut sebagai pengganti ideal ialah bekas pengendali skuad kebangsaan Tajikistan dan Afghanistan, Petar Segrt.

BACA LAGI: Perpisahan Peter Segrt dengan Tajikistan buka jalan ke Liga Malaysia?

BACA LAGI: [VIDEO] 'Mahu ajar Petar Segrt hormati Malaysia', Kim Pan-gon luah kekecewaan gagal bantu Harimau Malaya

WhatsApp Image 2024-07-23 at 3.15.03 PM

Pau Marti (tengah) akan menggantikan Pan-gon (kiri) buat sementara.

Personalitinya sebagai seseorang yang ramah serta pengalaman sekitar Asia menyaksikannya dicanang untuk mengisi kekosongan ditinggalkan Pan-gon baru-baru ini.

Cadangan itu seakan-akan diterima jurulatih kelahiran Croatia tersebut selepas dia baru-baru ini mengumumkan keterbukaannya dalam membimbing Harimau Malaya.

Jelasnya, penerimaan diterima setiap kali tiba di Kuala Lumpur membuatkannya tertarik untuk mengendalikan skuad kebangsaan meskipun menerima tawaran beberapa kelab Eropah kebelakangan ini.

Perkhabaran tersebut sememangnya menerima respons baik dalam kalangan penyokong yang berbesar hati mengalu-alukan kehadiran Segrt sekiranya FAM membuat tawaran rasmi kepadanya.

54435228_401706237286076_6688462264078434304_n

Zulakbal beranggapan Segrt antara calon sesuai untuk menggantikan Pan-gon.

Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak negara, Prof Zulakbal Abd Karim, masih terdapat pelbagai perkara perlu dipelajari jurulatih kelahiran Croatia itu sekiranya mengisi 'kerusi panas' Harimau Malaya.

"Pan-gon berjaya curi hati peminat Harimau Malaya sebelum ini kerana dia cepat belajar dan mempunyai pembantu yang boleh dipercayai dalam kalangan orang tempatan, jadi bolehlah dia berikan impak positif kepada skuad kebangsaan.

"Situasi sama perlu dilalui Petar apabila perlu belajar dengan cepat dan bawa masuk pembantu lokal berpengalaman supaya berjaya membawa kesan lebih baik berbanding Pan-gon," katanya kepada Majoriti.

Rekod Segrt ketika berdepan Harimau Malaya tidaklah terlalu mengecewakan memandangkan dia pernah menundukkan pasukan itu sebanyak dua kali.

393227671_1029697011436868_2466805085757471508_n

Tajikistan menjulang trofi Pestabola Merdeka ketika berada di bawah bimbingan Segrt. Facebook/FAM

Ini ketika pertembungan dua perlawanan akhir, iaitu Piala Raja-Raja Thai pada 2022 dan Pestabola Merdeka 2023 yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, KL.

Jadi, keputusan berkenaan membuatkan penyokong beranggapan jurulatih berusia 58 tahun itu sedikit sebanyak tahu mengenai kelemahan dan kekuatan Harimau Malaya.

Tetapi, bagi Zulakbal, analisis yang dibuat pada ketika itu masih belum mencukupi kerana terdapat perkara lain yang masih perlu dipelajarinya.

"Tidak boleh dinafikan seorang jurulatih ada 'coaching eye' kerana dia boleh lihat sesuatu situasi secara teliti. Namun, ini bukan jaminan untuk dia berjaya Harimau Malaya ke tahap lebih baik.

"Ada banyak perkara yang dia tidak nampak dalam landskap bola sepak negara, termasuk cabaran-cabaran dan isu-isu yang wujud. Inilah hal perlu diambil berat terlebih dahulu," katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram