"SEJUJURNYA saya sebenarnya tak nak tewas kali kedua lawan Tajikistan."
Itulah luahan ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon selepas terpaksa akur ditundukkan Tajikistan dalam aksi final Pestabola Merdeka dengan keputusan 0-2 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Selasa.
Sebelum ini, skuad kendalian Pan-gon pernah tewas di tangan Tajikistan dalam aksi final Piala Raja Thailand menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat dengan keputusan seri pada tahun lalu.
Dengan reaksi ketua jurulatih Tajikistan, Petar Segrt dalam sidang media pra-perlawanan final Pestabola Merdeka yang dilihat memperlekehkan pasukan kebangsaan itu menambah semangat Pan-gon untuk membuktikan kehebatan skuad negara.
"Saya sebenarnya tak nak tewas kali kedua lawan Tajikistan sebab jurulatih (Petar) dia tidak menghormati pasukan kita.
"Datang ke kejohanan ini dan memberi banyak alasan, bagi saya ini semua tidak masuk akal," katanya kepada media selepas tamat perlawanan akhir Pestabola Merdeka.
Tambahnya lagi, beliau mahu membuktikan skuad Harimau Malaya bagus dan tidak diperlekehkan oleh pihak lawan dengan memenangi Pestabola Merdeka namun perkara itu tidak berlaku.
"Jadi saya memang nak menang malam ini (Selasa), saya nak tunjukkan cara yang profesional untuk memenangi kejohanan itu.
"Tetapi ia tidak berlaku bagi saya perkara ini sangat mengecewakan terutamanya pada diri saya sendiri.
"Saya tak nak hilang karakter sebegitu (juara) dalam pasukan, pemain telah beri segalanya sebab itu saya menghormati kesemua pemain-pemain.
"Tapi cara dia (Petar) untuk memandang rendah tahap pasukan Harimau Malaya, Pestabola Merdeka sangat salah sebab itu saya cakap kepada pemain malam ini kita perlukan kemenangan," luahnya.
Selepas ini, skuad kebangsaan sekali lagi akan berkumpul pada bulan depan untuk menghadapi Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan yang berada di ranking ke-96 dunia.
Manakala pada 21 November, Harimau Malaya akan terbang ke Taiwan untuk menentang Chinese Taipei yang berada di kedudukan ranking 154 dunia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram