SKUAD Bawah 19 Tahun (B-19) negara memulakan kempen Piala AFF B-19 dengan langkah kanan apabila berjaya membenam Brunei 11-0 dalam aksi yang berlangsung minggu lalu.
Keputusan positif yang diraih itu menyaksikan mereka kini berada di kedudukan teratas Kumpulan C di samping menjadikan pasukan bimbingan Juan Torres Garrido kian dihormati di rantau Asia Tenggara.
Antara pemain yang bersinar dalam perlawanan itu sudah tentu Danish Hakimi Salahadin yang mencetak satu gol pada separuh masa pertama meskipun hanya beraksi di bahagian tengah.
BACA LAGI: Tan Cheng Hoe ganti Kim Pan-gon pimpin Harimau Malaya?
BACA LAGI: Media Korea Selatan kecoh KPG undur diri jadi pengendali Harimau Malaya
Danish kelihatan menulis perkataan 'Ibu' ketika beraksi untuk skuad B-19 negara. — Instagram/733
Rembatan kaki kiri dari luar kotak penalti cukup untuk menewaskan penjaga gol lawan dengan jaringan berkenaan meletakkan Harimau Muda dengan kedudukan 4-0.
Sumbangan itu bukanlah sesuatu yang amat mengejutkan memandangkan pemain berkenaan sudah meraih pengalaman berharga dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) II sepanjang musim.
Namun, kisah lebih menarik berkisar pemain berusia 19 tahun itu adalah apabila dia mengabadikan jaringan tersebut buat ibunya.
Berdasarkan kepingan foto yang dimuat naik di media sosial rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Danish yang memakai lilitan pita selofan di pergelangan tangan kirinya berserta tulisan 'Ibu'.
Kelihatan perkataan 'Ibu' di pergelangan tangan Danish Hakimi. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Perkara itu bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan pemain berkenaan turut berbuat sedemikian setiap kali beraksi untuk skuad Harimau Selatan seperti mana dikongsikan di Instagram peribadinya.
Keraian tersebut sekali gus membuktikan cinta Danish terhadap ibunya yang sudah tidak lagi berada di sisinya sejak empat tahun lalu.
Perkara sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu dalam dunia bola sepak memandangkan penyerang berbisa antarabangsa, Luis Suarez turut meraikan gol demi seseorang cukup dicintainya.
Bekas tonggak Liverpool dan Barcelona itu difahamkan memiliki tatu anak perempuannya, Delfina Suarez di tangan kanannya, namun disorok dengan lilitan pita pergelangan tangan.
Keraian Suarez sudah dilakukan sejak pemain itu beraksi untuk Liverpool. — Agensi
Tetapi, ia tidak menghalang pemain antarabangsa Uruguay tersebut daripada mengabadikan jaringannya kerana dia akan mencium bahagian tersebut setiap kali menghasilkan gol.
Pendekatan itu boleh dikatakan mempengaruhi Danish untuk melakukan keraian serupa, lebih-lebih lagi untuk membuktikan cintanya buat ibunya yang sudah meninggal dunia.
Selepas ini, skuad B-19 kebangsaan bakal berdepan Singapura yang berada di kedudukan ketiga selepas tewas tipis 1-2 kepada Thailand dalam aksi pembukaan.
Jika berjaya meraih tiga mata penuh, peluang cerah dimiliki anak-anak buah Garrido untuk mara ke peringkat seterusnya, sekali gus membuka jalan untuk memenanginya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram