KEMENANGAN Johor Darul Ta'zim (JDT) pada aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Kedah Darul Aman FC di Alor Setar disebelungi oleh kontroversi.
Sebelum jaringan kemenangan Romel Morales, seluruh Stadium Darul Aman berdebar apabila pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin menuju ke tepi padang untuk melihat kepada skrin Video Bantuan Pengadil (VAR).
Dia berbuat demikian kerana ingin memastikan keputusan mengenai insiden bola terkena tangan pertahanan JDT, Shahrul Saad ketika di dalam kotak penalti Harimau Selatan bersama pemain Kedah, Fayadh Zulkifli.
BACA LAGI: [VIDEO] Safee Sali pelik keputusan pengadil FIFA nafi penalti Kedah
Usai melihat skrin, Nazmi kemudiannya membuat keputusan untuk tidak memberikan sepakan penalti kepada Kedah dan itu mengecewakan ribuan penyokong tuan rumah.
Ramai penyokong Kedah mengatakan keputusan Nazmi itu tidak tepat walaupun sudah merujuk kepada skrin VAR. Tetapi bagi penganalisis bola sepak tempatan, Syed Adney Syed Hussein, keputusan Nazmi itu adalah tepat.
Menurut Syed Adney, pergerakan tangan Shahrul adalah semula jadi dan sukar untuk dia mengubahnya dalam situasi tersebut.
"Bagi saya pengadil telah buat keputusan yang betul. Shahrul tidak sengaja menghayunkan tangannya. Ia adalah pergerakan semula jadi. Shahrul tak boleh nak mengawal pergerakan tangannya.
"Namun begitu, mungkin ada pengadil yang lain berikan sepakan penalti kerana ia juga mengubah pergerakan bola ke arah yang berbeza," jelas Syed Adney kepada Majoriti.
Dalam masa yang sama, Syed Adney turut mengatakan tindakan Fayadh yang menyenggol (nudge)Shahrul sewaktu merebut bola tidak memberikan impak kepada keputusan Nazmi.
Pandangan Syed Adney dilihat kontra dengan apa yang dikatakan oleh seorang lagi penganalisis iaitu Safee Sali.
Safee mengatakan insiden itu jelas adalah sepakan penalti kerana bola memang terkena tangan Shahrul.
"Saya terkejutlah dengan keputusan yang dibuat Nazmi. Masa gol pertama JDT, kita bicarakan tentang terjahan lembut yang tak patut dilakukan dan dia melakukan keputusan yang baik.
"Tapi dalam situasi dakwaan penalti, itu keputusan yang meragukan sebab itu penalti yang jelas. (Menerusi) VAR ini, kita dapat memastikan keadaan itu betul, pasti atau tidak.
"Selalunya, itu akan memberi kelebihan kepada pasukan menyerang dan memberi masalah kepada pasukan yang bertahan. Benda itu memang terkena tangan (Shahrul) dan itu memang jelas penalti," kata Safee. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram