SELEPAS ura-ura akan merekrut enam pemain baharu untuk jendela perpindahan Ogos nanti, Johor Darul Ta'zim (JDT) juga berkemungkinan akan menerima staf kejurulatihan baharu untuk pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M).
Minggu lepas heboh desas-desus mengenai Harimau Selatan yang difahamkan melakukan rombakan besar-besaran selepas dikhabarkan enam pemain akan menyertai JDT menjelang jendela perpindahan kedua Liga Malaysia pada Ogos nanti.
Antara bayangan awal yang mengenai perpindahan pemain baharu ialah JDT akan menerima import kelahiran Korea Selatan, dua pemain Sepanyol, seorang pemain Colombia, seorang pemain Argentina dan seorang pemain tempatan.
BACA LAGI: Pemain JDT bersatu hati di bilik persalinan, saya boleh turunkan sesiapa saja — Hector Bidoglio
BACA LAGI: Heberty, Juan Muniz duo paling bahaya Liga Super setakat ini
Walaupun masih mengekalkan rekod tanpa kalah dalam semua aksi musim ini, JDT seolah-olah masih tidak berpuas hati dengan prestasi semasa mereka selepas mahu melakukan rombakan besar-besaran meliputi pertukaran pemain dan kakitangan kejurulatihan.
Menerusi perkembangan yang dikongsikan di Instagram masing-masing, dua kakitangan kejurulatihan sudah mengucapkan selamat tinggal kepada Harimau Selatan ialah jurulatih kecergasan Luis Vita dan Luis Noya.
Noya yang telah berkhidmat untuk Harimau Selatan selama empat tahun menyifatkan meninggalkan JDT adalah momen paling sukar untuk dalam kerjaya profesionalnya bekerja sebagai jurulatih kecergasan.
Manakala, Vita yang menyertai Harimau Selatan pada musim 2022 pula menganggap bertugas bersama juara bertahan Liga Super sebanyak 10 kali berturut-turut itu adalah bahagian terbaik dalam pengalamannya sebagai jurulatih.
Tangkap layar ucapan selamat tinggal dari dua jurulatih kecergasan JDT yang dimuat naik pada Sabtu.
Dengan pemergian dua kakitangan itu, JDT pasti sedang meneliti beberapa resume untuk mengisi kekosongan berkenaan dan proses tersebut pasti perlu disegerakan menjelang kejohanan penting seperti Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
Dalam pada itu, pemergian dua jurulatih ini juga seolah-olah petunjuk kepada hantaran daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang juga Pemangku Sultan Johor yang memaklumkan akan ada perkara beberapa perubahan besar di JDT.
"Selamat malam keluarga JDT. Banyak pembaharuan setiap aspek akan dilaksanakan dalam tempoh dua bulan ini," ujar Tunku Ismail yang juga dikenali dengan gelaran TMJ. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram