Bukan Esteban Solari, fans JDT rindu Mario Gomez beri peluang ‘rotation’ semua pemain Harimau Selatan


  • Podium
  • Ahad, 21 Jul 2024

Sebahagian statistik kemenangan Gomez semasa mengendalikan JDT.

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) terpaksa berhempas pulas untuk membawa bekalan selesa ke Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor menjelang perlawanan kedua Piala FA menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada 4 Ogos nanti.

Jaringan Ebenezer Assifuah (Kedah) di minit akhir perlawanan separuh akhir Piala FA membuatkan anak buah Hector Bidalgio terpaksa menggunakan keringat terakhir bagi meledak gol kedua untuk membawa bekalan selesa di SSI nanti.

Jaringan pemain kebangsaan, Romel Morales dalam masa tambahan memberikan kemenangan buat JDT dengan keputusan 2-1 pada Jumaat lalu (19 Julai).

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas sambar graduan Real Madrid, 3 pemain warisan lain mula beri 'hint' ikut JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Safee Sali pelik keputusan pengadil FIFA nafi penalti Kedah

Walaupun berjaya menewaskan Kedah, penyokong JDT beranggapan taktikal yang diterapkan oleh Bidalgio tidak sehebat pengendali sebelum-sebelum ini.

Rata-rata penyokong berpendapat bekas jurulatih Harimau Selatan, Mario Gomez antara individu yang berjaya menerapkan taktikal yang berbahaya sepanjang mengendalikan JDT.

Malah mereka (penyokong) bersetuju bekas pengendali berusia 67 tahun antara individu yang berlaku adil semasa memberikan peluang kepada pemain-pemain JDT untuk turun beraksi

Mario Gomez

Gomez pernah dinobatkan sebagai jurulatih terbaik Liga Super 2015.

"Jurulatih yang betul-betul mampu buat sistem penggiliran pemain yang berjaya, boleh kata semua pemain diturunkan berada di tahap yang sama walaupun pemain ditukar setiap perlawanan.

"Mario Gomez, ya tahu dia ada masalah tapi kemampuannya untuk guna sistem giliran dengan berjaya tak boleh dinafikan setakat ini hanyalah dia," kata seorang penyokong.

"Masa Mario Gomez memang aksi JDT padu (hebat), stadium penuh sebab penonton disajikan dengan permainan menarik cara Eropah," jelas Hafiedz Becker.

"Tano (Esteban Solari) pun okay, jurang jaringan sangat besar setiap perlawanan di bawah kendalian dia," kongsi Aihaz Jaff.

Untuk rekod, Gomez pernah membantu JDT menjuarai Piala AFC 2015 sekali gus menjadi jurulatih pertama Harimau Selatan yang memenangi kejohanan antarabangsa.

Bersama JDT, Gomez menjuarai lima trofi di peringkat domestik dan antarabangsa iaitu Liga Super (2015,2016), Piala FA 2016, Piala Sumbangsih 2016 dan Piala AFC 2015.

Kini, Gomez bergelar ejen bebas selepas dilepaskan oleh kelab Indonesia, Bhayangkara FC pada Februari lalu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram