PERTEMBUNGAN Piala FA antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat lalu diselubungi 1,001 kontroversi.
Keputusan pengadil, Nazmi Nasarudin untuk tidak memberikan sepakan pengadil buat tuan rumah pada masa kecederaan amat mengecewakan kerana kedudukan terikat 1-1 ketika itu.
Ini selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati bek kanan JDT, Shahrul Saad tidak sengaja dalam menampan bola akibat ditolak Fayadh Zulkifli Amin.
BACA LAGI: 'Elak kalah lawan Kedah', misi balas dendam Sony Norde dan Habib Haroon
BACA LAGI: Tiada Syafiq tidak apa, Kedah masih letak sasaran tinggi dalam Piala FA
Komen dibuat Sony Norde dalam sesi sidang media selepas perlawanan.
Pendirian Nazmi itu menyebabkan rata-rata penyokong Hijau Kuning berang, lebih-lebih lagi selepas perlawanan tersebut berakhir dengan kekalahan buat KDA FC.
Malah, perasaan berkenaan turut dikongsikan pemain sayap Sang Kenari, Sony Norde yang meluahkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan selepas perlawanan tersebut.
Tindakan pemain kelahiran Haiti itu menimbulkan kegusaran memandangkan kritikan terhadap badan pengadilan hanya akan membawa padah.
Namun, penyokong KDA FC seakan-akan tetap dengan pendirian bahawa kapten Kedah berkenaan tidak akan berdepan sebarang tindakan atas kenyataan yang dibuat.
Bagi pemerhati bola sepak tanah air, Zainal Abidin Rawop, terdapat kemungkinan hukuman akan dikenakan terhadap bekas pemain Terengganu FC tersebut seperti mana sudah ditetapkan.
Zainal melihat pemain atau pegawai pasukan perlu membuat kritikan melalui saluran yang betul.
"Sudah pasti perkara ini sudah ada dalam peraturan pertandingan yang mana pemain, pegawai atau pasukan jika mereka membuat kritikan terbuka terhadap pengadil, adalah tidak dibenarkan sama sekali.
"Mereka perlu melakukannya berdasarkan saluran yang betul. Jadi, dalam hal ini, apabila mereka mengkritik secara terbuka, ini sudah pasti akan mengundang padah," katanya kepada Majoriti.
Sebelum ini, terdapat pegawai pasukan serta pemain pernah berdepan nasib sedemikian selepas membuat teguran terbuka terhadap mutu pengadilan.
Tindakan berat dikenakan terhadap mereka sehingga menyebabkan pendirian Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dipertikaikan penyokong kerana tidak memberi ruang untuk mengkritik pengadil.
Tambah Zainal lagi, terdapat kemungkinan Sony akan berdepan beberapa bentuk hukuman, namun ia hanya akan diketahui selepas keputusan dibuat pihak atasan.
"Mungkin kedua-dua penggantungan dan denda akan dikenakan terhadapnya. Ia akan diputuskan Jawatankuasa Disiplin MFL dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana kes ini boleh dianggap sesuatu yang berat memandangkan kritikan dibuat terhadap pengadil," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram