Hidap jantung berlubang sejak lahir, arwah Danish tak 'miss game' KDA FC, selalu ingat tentang mati


  • Podium
  • Ahad, 21 Jul 2024

Antara kenangan Danish (hujung kanan) bersama pemain bola dan tangkap layar petikan ayat yang tersimpan dalam telefon miliknya.

"KANDUNGAN dalam telefon bimbit arwah memang hanya berkaitan dengan bola sepak dan ke arah kematian. Tak sangka rupanya, arwah betul-betul meninggalkan kami," cerita ibu saudara kepada Allahyarham Muhammad Danish Hakim Muhammad Zahir, Norhayati Md Noor, 52.

Muhammad Danish Hakim, 18, yang juga penyokong tegar skuad Kedah Darul Aman FC (KDA FC) rebah di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada Jumaat sebelum aksi semifinal Sang Kenari menentang Johor Darul Ta'zim (JDT).

Allahyarham disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Kedah rebah, tak sempat tonton aksi lawan JDT

BACA LAGI: [VIDEO] Safee Sali pelik keputusan pengadil FIFA nafi penalti Kedah

Menurut Norhayati, anak saudaranya itu memang mengalami masalah kesihatan jantung sejak kecil dan sentiasa mendapatkan rawatan dengan doktor.

"Arwah Danish memang dah sakit dari kecil. Dia ada masalah jantung berlubang sejak lahir.

"Memang kita nak kata jangan takut tidaklah tapi kita selalu mendapat rawatan dan nasihat doktor.

"Jadi selepas mendapat tahu (kejadian) itu, keluarga memang sangat terkejut, namun sudah reda dan tahu apa yang akan berlaku.

"Cumanya kita rasa kehilangannya sebab arwah seorang yang kelakar dan selalu mengusik ahli keluarga lain," katanya kepada Majoriti.

Danish Hakim - Hidalgo

Kenangan Danish (kiri) bersama bekas pemain import Kedah, Manuel Hidalgo.

Tambah Norhayati, selain meminati pasukan bola sepak Kedah, arwah turut menyimpan video beberapa petikan ayat seolah-olah mengetahui ajalnya sudah sampai.

"Setiap kali ada perlawanan bola sepak Kedah mesti dia pergi, siap pakai jersi hijau kuning pasukan.

"Dia turun setiap perlawanan dan akan hantar gambar dengan pemain bola sepak yang dia minati.

"Lain daripada itu, kami baru periksa telefon bimbit arwah... memang ada kaitan dengan bola sepak dan petikan-petikan yang menyebut tentang kematian.

"Kita tak nampak arwah sedih melainkan kalau dia sakit itu memang kita nampaklah, dia akan banyak persoalkan tentang kesihatan dirinya," ujarnya.

Norhayati juga sempat mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak tertinggi pengurusan Kedah dan mengakui akan merindui kelibat arwah yang sering menceriakan suasana keluarga.

"Kita rasa sangat-sangat bersyukur pihak pengurusan Kedah datang, meskipun kami ini orang biasa sahaja.

"Sekarang ini bila tak ada dia, tak ada dah orang yang selalu bergurau dan mengusik, jadi rasa kehilangan itu sangat dirasai.

"Sebab dia akan bergurau dengan semua orang tidak kisahlah ibu bapa atau saudara yang lain," luahnya.

Danish Hakim - Sakit

Antara kata-kata yang tersimpan dalam telefon arwah.

Majoriti sebelum ini melaporkan seorang remaja rebah sebelum meninggal dunia ketika menyaksikan perlawanan Piala FA antara KDA FC dan JDT di Stadium Darul Aman pada Jumaat,

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram