[VIDEO] Penyokong Kedah rebah, tak sempat tonton aksi lawan JDT


  • 112
  • Sabtu, 20 Jul 2024

Tangkap layar daripada rakaman seorang remaja diusung keluar pihak perubatan stadium selepas rebah.

SEORANG remaja lelaki berusia 18 tahun rebah sebelum meninggal dunia ketika hendak menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, Kedah pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad mengesahkan kejadian itu dan mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

Beliau berkata, remaja lelaki itu rebah sewaktu berada di tempat duduk penonton di stadium berkenaan pada kira-kira pukul 7 petang.

BACA LAGI: Tempang tanpa Syafiq, masa Nafuzi lancarkan gandingan Assifuah-Gordic berdepan JDT

BACA LAGI: Bukan umum penaja RM10 juta, Kedah Darul Aman lantik CEO baharu

"Remaja terbabit datang ke stadium itu bersama adiknya untuk menyaksikan perlawanan bola sepak antara KDA FC dan JDT itu dikatakan rebah dan tidak sedarkan diri sewaktu berada di tempat duduk penonton sebelum perlawanan bermula.

"Orang ramai yang melihat kejadian itu kemudian segera menghubungi Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang bertugas di stadium untuk membawa remaja berkenaan ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

"Sewaktu tiba di Zon Kecemasan HSB, pegawai perubatan kemudian mengesahkan remaja itu sudah pun meninggal dunia.

"Hasil semakan dan temubual terhadap waris mendapati remaja itu adalah seorang pengidap sakit jantung sejak kecil," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Noor Salawati berkata, pihak perubatan HSB juga mengesahkan sebab kematian sebagai "Complex Cyanotic Heart Disease" iaitu berkait sakit jantung yang dihidapi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan kematian remaja tersebut pada pukul 8.18 malam.

"Siasatan mendapati tiada sebarang unsur jenayah dalam kejadian ini dan kematian diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video berdurasi lima saat di media sosial memaparkan petugas perubatan di Stadium Darul Aman, Kedah bergegas membawa seorang remaja di atas pengusung.

Klip itu kemudiannya tersebar sebelum orang ramai menceritakan mangsa dilaporkan meninggal dunia seperti mana disahkan bapa kepada remaja lelaki berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram