[VIDEO] Bangladesh umum perintah berkurung susulan protes berdarah


  • Benua
  • Sabtu, 20 Jul 2024

Sekurang-kurangnya 105 orang maut dalam pertempuran minggu lalu antara penunjuk perasaan pelajar dan polis. — Agensi

BANGLADESH mengumumkan perintah berkurung dan mengerahkan pasukan tentera, selepas polis gagal mengekang rusuhan yang merebak di seluruh negara pada Jumaat.

Menurut laporan media antarabangsa yang memetik sumber hospital, pertempuran minggu lalu antara penunjuk perasaan pelajar dan polis mengorbankan sekurang-kurangnya 105 orang.

Situasi itu menimbulkan cabaran besar kepada kerajaan pimpinan Perdana Menteri Sheikh Hasina selepas 15 tahun memegang jawatan apabila berdepan protes terburuk sepanjang pemerintahannya.

BACA LAGI: Sultan Ibrahim ditabalkan sebagai Agong ke-17

BACA LAGI: [VIDEO] Dua lelaki mabuk cari pasal ugut pemandu kena belasah 'satu bas' di Jambi

"Kerajaan memutuskan untuk mengenakan perintah berkurung dan mengerahkan tentera untuk membantu pihak berkuasa awam," kata setiausaha Hasina, Nayeemul Islam Khan.

Beliau menambah bahawa perintah berkurung berkuat kuasa serta-merta.

Polis di ibu negara Dhaka sebelum ini mengambil langkah drastik melarang semua perhimpunan awam pada Jumaat.

"Kami mengharamkan semua perhimpunan, perarakan dan perhimpunan awam di Dhaka hari ini (Jumaat)," kata ketua polis, Habibur Rahman sambil menambah langkah itu perlu untuk memastikan tahap keselamatan awam terjamin.

Bagaimanapun, ia tidak menghentikan satu lagi pusingan konfrontasi antara polis dan penunjuk perasaan di sekitar bandar besar yang mempunyai 20 juta penduduk itu, walaupun internet disekat sehari sebelumnya.

"Bantahan kami akan diteruskan," Sarwar Tushar, yang menyertai perarakan di ibu negara dan mengalami kecederaan ringan apabila ia disuraikan secara ganas oleh polis.

"Kami mahu Sheikh Hasina meletakkan jawatan segera. Kerajaan bertanggungjawab atas pembunuhan itu."

Penunjuk perasaan yang terdiri daripada pelajar menyerbu penjara di daerah tengah Bangladesh, Narsingdi, dan membebaskan banduan sebelum membakar kemudahan itu, seorang pegawai polis memberitahu media tempatan dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.

"Saya tidak tahu bilangan banduan, tetapi ia akan mencecah ratusan," tambahnya.

Sekurang-kurangnya 52 orang terbunuh di ibu negara pada Jumaat, menurut senarai yang disediakan oleh Hospital Kolej Perubatan Dhaka.

Pasukan polis ibu negara sebelum ini berkata, penunjuk perasaan pada Khamis lalu membakar, merosakkan dan melakukan "aktiviti pemusnah" di banyak pejabat polis dan kerajaan.

Rusuhan di Bangladesh tercetus apabila golongan pelajar meluahkan rasa tidak puas hati terhadap tindakan kerajaan mewujudkan sistem kuota baharu termasuk menetapkan kuota 30 peratus peluang pekerjaan sebagai penjawat awam kepada keluarga yang berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan daripada Pakistan.

Pengkritik menyifatkan langkah itu memberi manfaat kepada kanak-kanak dari keluarga prokerajaan yang menyokong Hasina.

Selain itu, kadar pengangguran yang tinggi dalam kalangan golongan belia juga menyumbang kepada kemarahan pelajar yang mengambil langkah drastik mengadakan bantahan, sekali gus bakal menyaksikan negara itu berdepan cabaran ekonomi yang lebih teruk. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram