[VIDEO] Lepas sambar graduan Real Madrid, 3 pemain warisan lain mula beri 'hint' ikut JDT


  • Podium
  • Ahad, 21 Jul 2024

Altube pernah beraksi bersama Real Madrid.

SEJAK Johor Darul Ta'zim (JDT) dikhabarkan akan membuat rombakan secara besar-besaran, pelbagai nama pemain bola sepak yang berpangkalan di luar negara mula dikaitkan dengan Harimau Selatan.

Sebelum ini Majoriti melaporkan bekas bintang Atletico Madrid iaitu Hector Hernandez dikhabarkan akan menyertai juara bertahan Liga Super itu selepas kontraknya bersama GD Chaves akan tamat pada 1 Julai 2024.

Khabar angin berkenaan disambut baik oleh penyokong susulan statistik pemain kelahiran Sepanyol itu yang menjaringkan 81 gol dalam 282 penampilan dalam liga teratas Eropah membuktikan Hernandez calon tepat mengisi bahagian serangan JDT.

BACA LAGI: [VIDEO] Hector Hernandez disebut sertai JDT, elak ulangi kegagalan 3 nama besar di Harimau Selatan

BACA LAGI: [VIDEO] Safee Sali pelik keputusan pengadil FIFA nafi penalti Kedah

Selepas pemain berusia 28 tahun itu, DNA Sepanyol sekali lagi dikaitkan dengan Harimau Selatan apabila JDT difahamkan akan merekrut bekas penjaga gol Real Madrid iaitu Diego Altube.

Desas-desus Altube bersama Harimau Selatan mula meniti di bibir para penyokong apabila pemerhati sukan tanah air, Juan Budiman berkongsi pemain Sepanyol yang bakal menyertai JDT ialah seorang penjaga gol berdarah warisan negara ini.

Memetik hantaran dari laman pencari bakat, Frfuturetalent, Altube dikatakan mempunyai darah Malaysia dari ibunya dan pemain berusia 24 tahun itu juga difahamkan sudah menyelesaikan proses mendapatkan kerakyatan tanah air.

Selain usianya yang muda akan menjanjikan pelaburan jangka masa panjang buat JDT, Altube mempunyai pengalaman menimba ilmu bersama pasukan gergasi Sepanyol iaitu Real Madrid ketika zaman remajanya.

Usaha JDT pastinya tidak terhenti disitu selepas Majoriti mengesan beberapa pemain warisan lain sudah mula mengikuti media sosial Harimau Selatan mahupun pemilik juara Piala AFC 2015, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Di sini Majoriti senaraikan tiga pemain yang sudah 'follow' JDT di media sosial rasmi mereka sekali gus memberikan gambaran bakal menyertai Harimau Selatan:

1. Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal

Siapa tidak mengenali tonggak utama St. Louis City 2, Wan Kuzain Wan Ahmad Kamal yang mempunyai hubungan dengan Malaysia meskipun beraksi di Amerika Syarikat (AS).

Kuzain sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga Super antaranya Selangor FC selepas gagal mendapat tempat dalam skuad utama St. Louis City.

Kuzain yang menjaringkan tiga gol dalam 14 perlawanan Liga MLS Next Pro mungkin akan menyertai JDT di masa akan datang.

Ini kerana Kuzain telah pun mengikuti beberapa pemain JDT dan 'follow' pemilik kelab dari Selatan tanah air itu.

2. Samuel Bone

Pertahanan tengah kelahiran Kuching, Sarawak, Samuel Bone adalah salah satu bakat terbaik untuk dibawa masuk ketika tempoh perpindahan pemain berdasarkan struktur fizikalnya.

Ketika ini, pertahanan tengah itu sedang beraksi dengan kelab Republik Ireland, Shelbourne FC yang berjaya layak ke pusingan kalah mati Liga Konferens Europa (UECL).

Musim lalu bersama Maidstone United FC, Bone meraih kepercayaan daripada barisan kejurulatihan untuk diturunkan dalam majoriti aksi liga sepanjang musim.

Kini pemain berusia 26 tahun itu secara rasmi mengikuti perkembangan JDT melalui laman Instagram miliknya.

Danish

Danish (kanan) ketika membantu JDT III menang 5-0 ke atas Sabah dalam satu aksi Piala Presiden di Stadium Pasir Gudang. — Facebook/JDT

3. Danish Pesenti

JDT sentiasa selangkah ke depan dari segala aspek termasuklah merekrut awal pemain warisan yang berada di luar negara untuk memujuk bermain bersama Harimau Selatan.

Tahun-tahun sebelum ini sudah menyaksikan beberapa pemain kacukan tanah air menyarung jersi Harimau Selatan seperti Corbin Ong, Natxo Insa, Matthew Davies, Junior Eldstal dan Hong Wan.

Pencarian pemain warisan Harimau Selatan disambung lagi apabila juara Liga Super 10 kali berturut-turut itu mendapatkan khidmat 'ubi muda' kacukan Itali-Malaysia, Danish Pesenti.

Pendedahan awal Danish dalam bola sepak bermula sebagai pemain Akademi Sampdoria di Serie A selama empat tahun bermula pada usia 8 hingga 12 tahun dan selepas itu menyertai pelbagai kelab di Itali.

Kini, pemain yang beraksi di posisi tengah berkenaan sudah menyarung jersi JDT III dan secara rasmi mengikuti media sosial rasmi Harimau Selatan itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram