KELAB Pantai Timur, Terengganu FC nyata gembira apabila mereka membawa bekalan kemenangan selepas menundukkan Selangor FC pada perlawanan separuh akhir pertama Piala FA pada Jumaat.
Kemenangan 3-2 diraih skuad Tomislav Steinbruckner itu membolehkan Terengganu mempunyai sedikit kelebihan menjelang aksi kedua di Kelana Jaya pada 3 Ogos.
Namun begitu, di sebalik saat bahagia dinikmati penyokong skuad Sang Penyu, ada juga yang berduka kerana perlawanan tersebut.
BACA LAGI: [VIDEO] Penyokong Selangor rindu ex-import, fans Sang Penyu kagum aksi Noor Al-Rawabdeh
BACA LAGI: 'Sibuk nak pemain orang', fans Terengganu melatah Marin Pilj dikhabar ke liga seberang
Ribuan penyokong Terengganu membanjiri Gong Badak pada aksi berdepan Selangor. — Terengganu FC
Hal ini kerana, terdapat rungutan sesetengah penyokong yang kecewa tidak dapat menyaksikan perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, Terengganu walaupun sudah mempunyai tiket.
Terdapat penyokong meluahkan kekesalan yang tempat duduk mereka 'dicuri' oleh peminat lain hingga ada yang tidak dapat menonton atau perlu menyaksikan perlawanan dari tangga stadium.
"Beli tiket bola RM100 pergi dengan keluarga. Masuk-masuk tempat duduk penuh terus. Keluar terus sebelum perlawanan mula," kata penyokong dikenali Tuan Wok yang kecewa.
"Ramai tak dapat tempat duduk, macam mana kiraan kerusi (stadium) dengan tiket?," soal Lan Nun.
"Ada lagi yang adjust bagi masuk secara percuma, lepas itu yang bawa anak tak beli tiket untuk kanak-kanak, naya macam ni," ujar Alif Fidaiy.
Situasi yang berlaku di gelanggang rasmi Terengganu itu dipercayai kerana ketiadaan sistem tiket bernombor dilaksanakan di stadium tersebut.
Ia menyebabkan berlakunya perebutan tempat duduk antara penyokong yang hadir ke stadium terutamanya ketika perlawanan berstatus tinggi seperti separuh akhir Piala FA.
Majoriti sudah menghubungi pihak pengurusan Terengganu berkenaan perkara ini namun belum mendapatkan maklum balas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram