SKUAD Harimau Malaya mengakhiri kempen pusingan kedua Kumpulan D kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 dengan kemenangan 3-1 mengatasi Taiwan dalam aksi yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur pada Selasa.
Meskipun beraksi tanpa kehadiran enam tonggak utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman Hanapi dan Ahmad Syihan Hazmi akibat kecederaan namun ia tidak menghalang skuad kendalian Kim Pan-gon untuk memastikan tiga mata milik mereka.
Dalam aksi tersebut, Ketua Jurulatih skuad kebangsaan, Pan-gon bertindak berani apabila mempertaruhkan wajah baharu seperti Adib Raop, Haqimi Azim Rosli, Engku Nur Shakir dan Azri Ghani.
BACA LAGI: [VIDEO] Rezeki Adib Raop ledak gol pertama depan mak ayah
BACA LAGI: [VIDEO] 'Biar dia selesaikan misi', ekor Harimau Malaya mahu FAM kekalkan Kim Pan-gon
Adib dan Haqimi tampil cemerlang aksi berdepan Taiwan apabila berjaya mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan. — Facebook/FAM
Melihat kepada permainan yang ditampilkan oleh skuad kebangsaan aksi berdepan Taiwan, nampaknya Pan-gon perlu melakukan perubahan drastik agar Harimau Malaya kembali mengaum.
Dalam pada itu, Majoriti menyenaraikan tiga perkara yang patut dilakukan oleh Pan-gon demi kebangkitan Harimau Malaya.
1) Ketengahkan bakat pemain muda
Pengendali Harimau Malaya, Pan-gon dilihat perlu berani untuk menggunakan pemain-pemain muda dalam kejohanan Piala AFF 2024 hujung tahun nanti.
Ia selepas dua pemain muda kebangsaan iaitu Adib Raop dan Haqimi Azim Rosli tampil cemerlang selepas dibawa masuk pada pertengahan separuh masa kedua perlawanan.
Kedua-dua pemain yang menjadi nafas baharu jentera serangan Harimau Malaya tampak tidak menghampakan peluang yang diberikan oleh Pan-gon.
Safwan dilihat berpotensi untuk menggalas tugas di bahagian pertahanan Harimau Malaya. — Facebook/FAM
Menariknya aksi kedua tersebut, Adib dan Haqimi dilihat masing-masing menggunakan idea yang bernas untuk mengucar-ngacirkan benteng pertahanan lawan.
Lebih manis lagi, Adib menggunakan peluang sebaik mungkin dengan meledak gol ketiga buat Malaysia apabila pertahanan Taiwan melakukan kesilapan pada minit-minit akhir.
Dalam pada itu, ramai penyokong berasakan sudah tiba masanya Pan-gon berani untuk menurunkan pemain-pemain muda berbakat dalam aksi seterusnya.
2) Kurangkan naturalisasi
Sudah tiba masanya penggunaan pemain naturalisasi dikurangkan dalam skuad kebangsaan.
Jika melihat kepada prestasi pemain naturalisai ketika ini, keberkesanan penggunaan bakat tempatan dipercayai lebih baik.
Prestasi yang ditampilkan oleh Endrick Dos Santos dan Paulo Josue dilihat kurang memberi sengat dalam membantu jentera serangan Harimau Malaya.
Meskipun mencetak gol kedua buat Harimau Malaya, ketumpulan Paulo Josue (tengah) mendapat komen negatif. — Facebook/FAM
Meskipun peluang demi peluang terhidang di depan pintu gol lawan namun ketumpulan pemain naturalisasi berkenaan menjadi persoalan fans.
Dalam pada itu, penyokong berharap agar Pan-gon memberi peluang kepada bakat muda seperti Engku Nur Shakir dan Safwan Mazlan menggalas tugas bersama skuad kebangsaan.
3) Corakkan strategi dan taktikal
Jika bercakap mengenai corak strategi dan taktikal, pastinya ramai penyokong bersetuju sekiranya Pan-gon mengekalkan rencah ketika aksi berdepan Korea Selatan.
Berdepan dengan salah satu pasukan Piala Dunia, Malaysia berjaya bangkit untuk melakar sejarah tersendiri di Piala Asia 2023 dengan mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi Kumpulan E pada 25 Januari lalu.
Kejayaan itu sekali gus menyaksikan ramai penyokong berharap agar Pan-gon mengambil contoh dalam aksi tersebut dan mengekalkan corak permainan dan strategi untuk aksi seterusnya.
Pan-gon perlu melakukan variasi terhadap pendekatan taktikalnya. — Facebook/FAM
Melihat kepada kesebelasan utama aksi tersebut, Pan-gon mengutamakan pemain tempatan dan warisan.
Dalam pada itu, Pan-gon perlu menilai semua corak permainan dan strategi yang terbaik untuk Harimau Malaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram